ARKIB : 19/05/2009
UMMU Hakim lahir dalam keluarga
bangsawan Quraisy yang disegani pada ketika itu. Ayahnya adalah Al-Harith bin
Hisyam iaitu saudara kandung kepada Abu Jahal.
Ibunya ialah Fatimah binti
Al-Walid, saudara kandung Khalid Al-Walid. Suaminya pula adalah Ikramah bin Abu
Jahal yang pada mulanya merupakan ketua pasukan tentera Quraisy yang menentang
tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad.
Ikramah membawa isterinya
berangkat ke medan peperangan ketika Perang Uhud meletus. Ummu Hakim berbaris
dengan wanita lain di belakang pasukan tentera Quraisy memukul gendang untuk
menaikkan semangat para pejuang mereka untuk bertempur dengan tentera Islam.
Mereka memusuhi agama Islam dan
nabi Muhammad kerana dorongan ayahnya, Abu Jahal yang menentang keras agama
Islam. Ini semua berlaku sebelum hati Ikramah dan Ummu Hakim terbuka pada agama
Islam.
Apabila kota Mekah jatuh ke
tangan pasukan tentera Islam di bawah pimpinan nabi Muhammad, Ummu Hakim
bersama sepuluh wanita Quraisy telah pergi berjumpa dengan nabi Muhammad untuk
memohon pengampunan dan memeluk agama Islam.
Menggoda
Ummu Hakim mendapat tahu bahawa
suaminya termasuk dalam senarai orang yang akan dihukum mati kerana menentang
pihak Islam dengan keras dan kejam.
"Ya Rasulullah, saya memohon
agar suami saya diberi pengampunan di atas kesalahannya selama ini," pohon
Ummu Hakim yang datang berjumpa Nabi Muhammad untuk mendapat jaminan
keselamatan bagi suaminya.
"Baiklah," Nabi
Muhammad meluluskan permohonannya.
Namun Ikramah yang mendapat tahu
bahawa dirinya sedang diburu tentera Islam melarikan diri ke negara Yaman. Ummu
Hakim berasa kecewa dengan tindakan Ikramah itu dan mengambil keputusan untuk
menjejaki suaminya sehingga menemuinya.
Dia berjumpa dengan Rasulullah
untuk meminta izin bagi mencari suaminya dan dibenarkan oleh Nabi SAW.
Ikramah yang telah tiba di negara
Yaman seterusnya bertekad untuk meninggalkan semenanjung Arab menuju negara Habsyah
(Ethiopia) di benua Afrika.
Dia pun menaiki kapal di
pelabuhan Yaman untuk meneruskan rancangannya. Namun kapal yang dinaikinya di
landa taufan lalu merempuh ombak besar. Ikramah menjadi takut dan kecut lalu
berjanji untuk memohon maaf dari Nabi Muhammad sekiranya selamat dari bencana
itu. Kapal itu selamat dengan izin Allah.
Ketibaan Ikramah di pantai
Tihamah di sambut oleh isterinya, Ummu Hakim dengan wajah ceria. Ummu Hakim
telah menempuh pelbagai rintangan dan halangan untuk berjumpa dengan suaminya.
Ummu Hakim ditemani oleh seorang hamba lelaki berbangsa Rom ketika keluar kota
Mekah menuju destinasi mencari suaminya.
Hamba lelaki itu menggoda Ummu
Hakim lalu mendesaknya untuk melakukan perkara yang terkutuk. Namun Ummu Hakim
berjaya menjaga maruah dirinya dengan menolak keinginan hambanya itu dengan
bijaksana.
"Hasrat kamu akan ku
tunaikan setelah bertemu dengan suami saya," Ummu Hakim memperdayakan
hambanya dengan berjanji palsu dengannya.
"Baiklah," balas
hambanya dengan penuh harapan.
Kemudian dia meneruskan
perjalanannya menuju ke pantai Tihamah kerana mendapat berita bahawa suaminya
berada di situ.
"Saya sudah memohon
pengampunan dari Nabi Muhammad untuk diri kamu. Beliau telah mengabulkan
permohonan saya. Kamu selamat pulang ke Mekah," ujar Ummu Hakim kepada
suaminya yang khuatir untuk pulang bersamanya.
"Betulkah apa yang dikatakan
oleh kamu itu," Ikramah kelihatan was-was.
"Ya. Nabi Muhammad berjanji
tidak akan menghukum kamu".
Selepas berbincang dengan panjang
lebar, hati Ikramah menjadi lembut dan tenang untuk mengikut Ummu Hakim pulang
ke Mekah.
Mereka akhirnya tiba di depan
pintu nabi Muhammad dan memohon izin untuk berjumpa dengan beliau. Nabi
Muhammad gembira menyambut ketibaan Ikramah dan isterinya.
Ikramah melafazkan dua kalimah
syahadat di hadapan nabi Muhammad lalu memeluk agama Islam. Ikramah memohon
pengampunan dari nabi Muhammad di atas kesalahannya selama ini memusuhi agama
Islam dan diri nabi Muhammad. Nabi Muhammad mengampuni segala kesalahannya
selama ini dan menikahkan Ikramah dengan Ummu Hakim.
Ketika Perang Yarmuk meletus,
Ummu Hakim keluar bersama suaminya, Ikramah yang memimpin pasukan tentera Islam
untuk bertempur dengan orang Rom.
Ummu Hakim tidak melepaskan
peluang untuk turut berjuang bersama pasukan tentera Islam untuk membunuh
pasukan tentera Rom yang memusuhi mereka.
Dengan menggunakan pedang untuk
menebas dan menikam tentera Rom yang cuba menghalang pergerakannya. Hatinya
puas apabila melihat beberapa orang tentera musuh rebah menyembah bumi akibat
tikaman dan tebasan pedangnya.
Jiwanya yang berani dan kental
mengatasi ketakutan yang biasa ada pada diri wanita untuk menentang pihak musuh
Allah. Ummu Hakim kehilangan suami tercintanya dalam Perang Yarmuk, namun
hatinya gembira kerana Ikramah mati kerana menegakkan agama Islam.
Selepas tamat tempoh idah, Khalid
bin Said telah melamarnya ketika pasukan tentera Islam sedang menanti serangan
dari pasukan tentera Rom dalam Perang Maraj Ash-Shuffar.
Sengit
Ummu Hakim menerima lamaran
Khalid bin Said lalu mereka bernikah di sebuah jambatan di Safar, selatan
Damsyik yang kini dikenali sebagai jambatan Ummu Hakim.
Mereka mengadakan jamuan makan
kepada pasukan tentera Islam sempena majlis pernikahan mereka. Namun sebelum
sempat mereka makan, pasukan tentera Rom sudah menyerang mereka. Khalid bin
Said bertempur dengan berani untuk melawan kemaraan tentera Rom.
Ummu Hakim pula mengikat
pakaiannya lalu turut serta bertempur melawan pasukan tentera Rom. Pertempuran
antara dua pasukan tentera itu berlangsung berhampiran sungai.
"Walaupun ini merupakan hari
pernikahan saya dengan Khalid, namun saya tak akan meraikannya sehingga Allah
memberi kemenangan ke atas pasukan tentera Islam," detik hati Ummu Hakim
yang memegang pedang menebas dan menikam pihak musuh.
"Serang dan tentang pihak
musuh sehingga titisan akhir darah kamu!," jerit komander pasukan tentera
melihat kemaraan pasukan tentera Rom yang semakin mengasak kubu pertahanan
tentera Islam.
Pertempuran itu berlaku dengan
begitu sengit sehingga Khalid bin Said dan ramai tentera Islam terkorban dalam
peperangan itu. Ummu Hakim berjaya membunuh tujuh orang tentera Rom dalam
peperangan itu.
Ummu Hakim tidak sedih atau sayu
dengan kematian Khalid bin Said pada hari pernikahannya. Ini adalah kerana
suaminya terbunuh ketika menentang pihak musuh Islam.
Ummu Hakim menghembuskan nafas
terakhirnya pada tahun 14 Hijrah. Semoga Allah menempatkan Ummu Hakim di
kalangan orang yang dikasihi-Nya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0519&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5Xv3m8paF
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment