ARKIB : 08/06/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
ADA yang meminta supaya kita
mengenali lebih jauh akan Saidatina Siti Khadijah al Kubra dari sudut kehebatan
beliau sebagai ahli perniagaan yang berjaya.
Ramai yang ingin mengetahui
mengenai kepintaran dan kemahiran beliau dalam selok belok dan liku-liku
perniagaan yang menjanjikan satu dunia yang penuh dengan tipu daya muslihat dan
cabaran-cabaran yang tidak terduga. Apa tah lagi di zaman Arab Jahiliah,
apabila segala peraturan, norma dan etika perniagaan tidak ada tempatnya di zaman
itu.
Untuk tujuan ini mungkin kita
perlu mengetahuinya dengan membaca buku terbitan PTS Professional Publishing
Sdn. Bhd. bertajuk Rahsia Bisnes Isteri Nabi: Khadijah (2008) yang ditulis oleh
Ashadi Zain yang menyingkap lebih jauh dan mendalam mengenai rahsia perniagaan
Siti Khadijah.
Antara lain dalam buku itu
dijelaskan mengenai:
*Apakah faktor business matching
atau pemadanan perniagaan dalam menentukan kejayaan Siti Khadijah,
*Bagaimanakah pelaksanaan
mudharabah antara Siti Khadijah dan Nabi Muhammad,
*Bagaimanakah perbezaan atau
differentiation berlaku dalam perniagaan Siti Khadijah.
Siti Khadijah wajar sekali
dijadikan ikon atau idola untuk seseorang itu berjaya dalam perniagaan. Ini
kerana sekalipun sebagai wanita, bukan penghalangnya!
Namun tidak kurang yang bertanya
lebih lanjut persoalan bahawa dikatakan Siti Khadijah hanya secara simbolik
sahaja memecahkan tradisi, iaitu buat pertama kalinya, pihak perempuan yang
meminang pihak lelaki.
Namun pada hakikatnya,
tindakannya meminta bantuan rakannya, Nafsiah untuk menemui Nabi Muhammad itu
tidak lebih untuk meminta baginda kemudiannya meminang Siti Khadijah setelah
hajat sahabatnya itu dapat diterima oleh baginda.
Dalam hal ini, tidak perlu
dijadikan polemik, malah pada sesetengah riwayat diceritakan bagaimana Nabi
Muhammad terus meminta bantuan bapa saudaranya, Abu Talib untuk masuk meminang
Siti Khadijah setelah tahu mengenai hasrat wanita itu.
"Kita pergi meminang Khadijah
melalui bapa saudaranya kerana tuan punya badan sudah jatuh hati kepada
kamu," cadang Abu Talib sejurus mendengar permintaan anak saudaranya itu.
"Saya setuju dengan cadangan
itu," sokong Hamzah, seorang lagi bapa saudara Nabi Muhamad yang kebetulan
ada bersama.
Rombongan dari pihak lelaki yang
terdiri dari Abu Talib, Hamzah dan Nabi Muhammad sendiri kemudiannya segera
menuju ke rumah keluarga Siti Khadijah bagi meminang wanita bangsawan dan
sangat terkenal di kalangan bangsa Arab ketika itu.
Kedatangan mereka disambut baik
oleh pihak keluarga Khadijah dan pinangan diterima dengan gembira oleh
kedua-dua belah pihak.
Dalam majlis perkahwinan yang
berlangsung antara Nabi Muhammad dan Siti Khadijah itu, maka sekelian yang
hadir terpegun dengan ucapan yang dibuat oleh Abu Talib sempena merestui
perkahwinan anak saudaranya itu.
Abdullah Khanizi dalam buku Abu
Talib Mukmin Quraisy (Darul Fikir, 2004) menukilkan kata-kata Abu Talib iaitu:
"Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita termasuk dalam keturunan
Ibrahim dan anak cucu Ismail (Nabi), ras dan bangsa Mudhar yang menjadikan kita
pemelihara rumah-Nya dan mengelola Haram-Nya maka rumah Allah itu terjaga dan
Haram yang terpelihara dan menjadikan kita juga pemimpin manusia.
"Kemudian anak saudaraku
ini, Muhammad bin Abdullah tidak dapat dibandingkan dengan mana-mana lelaki di
muka bumi ini melainkan dia seorang yang unggul, baik dalam kemuliaan,
keutamaan, keistimewaan dan kecerdasan.
"Dia memang seorang yang
miskin, memiliki hanya sedikit harta tetapi harta merupakan naungan yang cepat
hilang, perkara yang mudah sirna dan pinjaman yang pasti diambil kembali.
"Muhammad adalah yang kalian
kenal, dia melamar Siti Khadijah binti Khuwailid dan menyerahkan untuknya dunia
dan akhiratnya. Demi Allah selepas ini, dia akan mendapat berita besar, sesuatu
yang sangat penting dan agung".
Kata-kata Abu Talib itu disambut
baik oleh semua yang hadir terutama bapa saudara Siti Khadijah sendiri, Waraqah
yang bangun sambil berkata: "Tidak ada orang Quraisy yang membantah
kelebihan-kelebihan kamu wahai Abu Talib. Kami sangat ingin memegang tali
kebangsawanan anda".
Perkahwinan baginda pada usia 25
tahun dan isterinya, Siti Khadijah yang dikatakan berusia 40 tahun ketika itu
jangan dilihat sebagai satu hubungan yang diikat atas nama tali perkahwinan.
Namun tidak lebih, bermulanya
satu episod kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara dua insan, Nabi
Muhammad terhadap isterinya itu.
Dengan faktor berbeza atau jarak
usia sebagai penghalangnya. Jika tidak kerana baginda masih tercari-cari akan
soal ketuhanan yang namun cinta baginda terhadap Siti Khadijah adalah mengatasi
segala-galanya ketika itu.
Kasih sayang berasaskan kepada
keikhlasan dan kejujuran baginda menerima Siti Khadijah itu telah diketahui
umum menyebabkan Siti Aishah, yang dikahwini baginda selepas kematian Siti
Khadijah berasa cemburu yang amat sangat.
Ini diluahkan sendiri oleh Siti
Aishah: "Saya selalu menyesal kerana tidak sempat melihat dan berada
semasa Khadijah masih hidup! Saya sungguh kesal. Ini kerana saya begitu kagum
dan takjub terhadap mahabbah (kasih sayang) dan agungnya cinta yang ditunjukkan
oleh Nabi terhadap Khadijah itu!
"Nabi terlalu menyayangi
wanita itu dan selalu terkenang Khadijah lebih dari sesiapa pun di muka bumi
ini.
"Jika baginda menyembelih
domba, baginda akan mencari sahabat-sahabat Khadijah untuk dibahagi-bahagikan
daging domba itu sehinggalah ke satu peringkat, ketika hendak keluar dari
rumah, Nabi akan teringat kepada Khadijah lalu terus mendoakan isterinya itu
sambil air mata kelihatan bercucuran.
"Ini menyebabkan saya
sendiri sebagai isteri tidak mampu menahan cemburu malah menjadi semakin
meluap-luap dan terus berkata kepada Rasulullah: "Khadijah tidak lebih
dari sekadar seorang perempuan tua. Kini Allah telah memberikan kamu (Aishah
sebagai isteri) yang lebih daripadanya, iaitu seorang yang lebih jelita, pintar
dan cergas".
Akibatnya, kita semua tahu
sendiri bagaimana marahnya baginda terhadap kata-kata Siti Aishah itu!
Walaupun ramai yang menyifatkan
perkahwinan baginda dengan wanita ternama ini sekali gus menaikkan lagi nama
dan kemuliaan Nabi Muhammad di kalangan Arab Quraisy di samping baginda
berkongsi kekayaan yang dimiliki oleh wanita itu.
Namun jelas sekali, ia sebuah
perkahwinan yang sangat luhur kerana sehinggalah Khadijah meninggal dunia,
baginda tidak pernah berkahwin dengan mana-mana wanita yang lain!
Ini kerana pasti kecantikan Siti
Khadijah semakin luntur ditelan masa namun semua itu tidak mengalihkan
pandangan baginda kepada mana-mana perempuan yang lain!
'Wanita Pertama Islam' atau Ummul
Mukminin Siti Khadijah ini wajar sekali dijadikan ikon atau idola terutama
untuk wanita-wanita Islam moden di zaman ini. Iaitu zaman di mana ramai
kalangan wanita turut menceburi dalam bidang perniagaan dan dalam masa yang
sama mereka juga ingin berjaya dalam hubungan suami isteri dan kekeluargaan.
Ketokohan Siti Khadijah adalah
tidak syak lagi di sebalik nama Pasar Besar Siti Khadijah, yang begitu terkenal
di Kota Bharu Kelantan pada hari ini.
Dari nama asalnya Pasar Besar
Buluh Kubu yang kemudiannya ditukarkan pada tahun 1990 kepada sempena isteri
Nabi Muhammad itu. Ini jelas sekali tidak sahaja sebagai satu penghormatan yang
tinggi kepada wanita ini atau kebanyakan yang berniaga di situ terdiri kalangan
wanita-wanita Kelantan.
Namun nama Siti Khadijah perlu
menjadi satu institusi besar dalam melahirkan wanita-wanita yang berkaliber
malah berjaya di dunia dan di akhirat kelak.
Mungkin kelebihan Siti Khadijah,
beliau dapat berkahwin dengan seorang Nabi atau Rasul namun dari pelbagai aspek
yang lain, banyak yang boleh dicontohi dari wanita ini!
Sehinggalah mereka mengenali Siti
Khadijah wanita-wanita Islam hari ini tidak lagi wajar mengadu mereka tidak
mempunyai sesiapa untuk diteladani!
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5Xvxpwbd5
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment