ARKIB : 13/07/2009
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN
SOFA, NEGERI SEMBILAN
Solat adalah manifestasi
pengabdian manusia kepada Allah dan wajib dilakukan walaupun di mana kita
berada. - Gambar hiasan
PERISTIWA Israk dan Mikraj
merupakan perjalanan dan mukjizat agung yang dikurniakan oleh Allah kepada
manusia yang paling layak dan teragung, Rasulullah SAW.
Dalam perjalanan tersebut
diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran dan pemandangan dari alam
penuh rahsia yang kesemuanya itu mengandungi pelbagai hikmah dan hakikat yang
akhirnya bersangkut paut dengan apa yang berlaku di alam zahir ini dari urusan
dan kehidupan para hamba.
Peristiwa Israk dan Mikraj
penting untuk dihayati terutamanya manusia zaman kini yang semakin jauh dari
dapat menyelami hikmah-hikmah Ilahi. Sesungguhnya Israk dan Mikraj menyimpan
pelbagai rahsia dan membongkar pelbagai pengajaran, peringatan dan kelebihan
terutamanya kedudukan Rasulullah SAW yang istimewa di sisi-Nya.
Pengajaran Tentang Solat
Antara pengajaran terpenting yang
diperolehi daripada perjalanan Israk dan Mikraj ialah tentang solat. Di antara
kefarduan solat dan mukjizat Israk dan Mikraj, terdapat hubung kait yang begitu
mendalam dan erat, sehingga munasabahlah dinamakan solat itu sebagai al Mikraj
al Ruhi.
Apabila Mikraj Nabi kita SAW
dengan jasad dan rohnya ke langit sebagai suatu mukjizat, maka Allah SWT
menjadikan bagi umat Muhammad SAW Mikraj Roh pada setiap hari sebanyak lima
kali. Di mana roh dan hati mereka pergi menemui Allah bagi memastikan mereka
bebas dari kekangan hawa nafsu dan menyaksikan keagungan Allah, kekuasaan serta
keesaan-Nya, sehingga mereka menjadi orang yang mulia di atas permukaan bumi
ini.
Kemuliaan yang diperolehi bukan
dengan jalan penindasan, kekuatan dan kemenangan, tetapi dengan jalan kebaikan
dan ketinggian, jalan kesucian dan kemuliaan serta jalan solat.
Tidaklah solat itu sekadar robot
atau pergerakan alat-alat yang tidak mempunyai makna, tetapi ia adalah sebuah
madrasah yang mendidik kaum mukminin atas semulia-mulia makna kebaikan,
kecintaan dan kemuliaan dalam menempuh kesesakan hidup, hiruk-pikuk dan
kejahatannya.
Solat merupakan sebesar-besar
amalan dalam Islam. Sesiapa yang memeliharanya, maka dia akan memperolehi
kebahagiaan dan keuntungan. Sesiapa yang meninggalkannya, maka dia akan
memperolehi kecelakaan dan kerugian.
Allah SWT telah memfardukan solat
ke atas hamba-hamba-Nya yang beriman supaya ia menjadi penghubung dengan
hadrat-Nya, peringatan tentang keagungan-Nya dan tanda kesyukuran hamba-Nya
atas nikmat yang dicurahkan-Nya.
Ia merupakan asas bagi mencapai
kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
"Amalan pertama yang dihisab bagi hamba pada hari kiamat adalah solat.
Sekiranya solatnya itu baik, maka baiklah segala amalannya. Sekiranya solatnya
itu rosak, maka rosaklah segala amalannya yang lain". (Diriwayatkan oleh
al Tabrani di dalam al Awsot juga disebut di dalam Majma' al Zawaid (1/291)).
Tidak menjadi suatu perkara yang
pelik apabila solat dijadikan sebagai kepala amalan. Sesungguhnya dengan
melazimkan diri menunaikan solat secara sempurna dengan khusyuk dan khudhu'
kepada Allah, akan menanam di dalam jiwa sifat muraqabah kepada-Nya.
Sesiapa yang telah mencapai
muraqabatullah, akan berasa takut kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, menunaikan
perkara yang menjurus kepada keredaan-Nya, berkata benar apabila berbicara,
menunaikan janji apabila berjanji, menunaikan amanah, bersabar ketika ditimpa
kecelakaan dan bersyukur dengan nikmat-Nya.
Firman Allah SWT dalam surah
al-Maarij ayat 19 hingga 23: Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah
gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah
gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut; kecuali
orang-orang yang mengerjakan solat. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan
solatnya.
Seorang hamba yang memelihara
solatnya dengan sempurna, tidak akan terleka daripada muraqabatullah dalam
kesibukan dan urusan sehariannya. Sesungguhnya sesiapa yang memelihara solatnya
dengan menunaikannya dengan khusyuk, akan diampunkan dosanya dan dikasihi oleh
Tuhannya.
Sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya setiap solat itu menghapuskan kesalahan yang dilakukan di
hadapannya". (riwayat Imam Ahmad dan al Tabrani).
Sabda Baginda SAW lagi:
"Sesiapa mengetahui bahawa solat itu adalah hak yang wajib, maka dia masuk
syurga". Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al Baihaqi dan al Hakim).
Sesiapa yang tidak memelihara
solatnya, maka dia diharamkan di dunia daripada memperolehi nikmat keberkatan,
taufik dan kebaikan serta akan diazab selepas kematiannya dengan dihentakkan
kepalanya ke batu.
Setiap kali kepalanya itu pecah,
akan dikembalikan seperti keadaan asalnya. Dia juga akan datang pada hari
kiamat tanpa cahaya, petunjuk keimanan dan diharamkan terselamat dari azab,
kehinaan dan kerendahan.
Wahai kaum Muslimin! Bertakwalah
kalian kepada Allah dan peliharalah solat serta tunaikanlah kerana Allah pada
waktunya dengan khusyuk. Tiada yang menghalang kalian untuk menunaikannya
walaupun disebabkan kesejukan dan juga pekerjaan.
Bermujahadahlah sehingga kalian
tidak mengabaikan menunaikan solat Subuh pada waktunya tatkala kalian
berseronok menikmati kelazatan tidur dan ketika malas. Begitu juga
bermujahadahlah sehingga kalian tidak lalai menunaikan solat Asar kerana
terlalu sibuk mendahulukan pekerjaan.
Berhati-hatilah kalian agar
harta, perniagaan, kemegahan, takhta, pemerintahan dan kementerian tidak
menyibukkan kalian dari menunaikan solat.
Jadilah kalian dari kalangan
mereka yang tergolong dalam firman Allah SWT yang maksud-Nya: (Ibadat itu
dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh
perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan
mendirikan solat serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang
padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu)
supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka
kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurnia-Nya; dan sememangnya Allah
memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terhitung.
(al-Nur: 37 dan 38)
Daripada Abdullah ibn Amru
berkata, pada suatu hari, Nabi SAW menyebut tentang solat dengan sabdanya:
"Sesiapa yang memelihara solat maka baginya cahaya, petunjuk dan kejayaan
pada hari kiamat. Sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiada baginya cahaya,
petunjuk dan kejayaan. Pada hari kiamat, dia akan bersama Qarun, Firaun, Haaman
dan Ubai ibn Khalaf". (riwayat al Tabrani dan Ibnu Hibban)
Daripada Abi Hurairah r.a
berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apakah pandangan kalian,
jika ada sebatang sungai di pintu rumah salah seorang dari kalian, dia mandi di
dalam sungai tersebut pada setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih ada
suatu kotoran yang tinggal pada badannya?" Sahabat menjawab, "Tidak
ada suatu kotoran pun yang tinggal". Sabda Baginda SAW, "Begitu
jugalah perumpamaannya dengan solat lima waktu yang dengannya Allah
menghapuskan kesalahan-kesalahan. (riwayat al Bukhari dan Muslim)
Banyak lagi pengajaran yang
terdapat dalam peristiwa Israk dan Mikraj terutamanya beberapa keistimewaan
yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW bagi menunjukkan kepada kita tentang
ketinggian martabat Baginda SAW.
Semoga kita digolongkan di
kalangan orang-orang yang celik mata hati sehingga kita dapat menghayati hikmah
dan pengajaran di sebalik peristiwa agung, Israk dan Mikraj.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5Xxo2utyA
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment