ARKIB : 02/10/2009
PADA suatu hari, selepas
menunaikan sembahyang, Rasulullah didatangi seorang wanita yang bernama Ghamidiyah.
Rasulullah pun bertanya tujuan wanita itu datang menemuinya.
"Apakah tujuan kamu
menemuiku?" soal Rasulullah.
"Wahai Rasulullah, aku telah
berzina. Oleh itu rejamlah aku," jawab Ghamidiyah.
Mendengarkan jawapan itu,
Rasulullah memalingkan mukanya dari pandangan Ghamidiyah.
Ghamidiyah pun mendepani
Rasulullah dan berkata: "Aku telah melakukan zina, wahai Rasulullah.
Hukumlah aku mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh Allah kepada penzina
sepertiku ini," kata Ghamidiyah.
Selepas Rasulullah berpaling
sebanyak tiga kali, akhirnya baginda pun bertanya, "Sudah sampai ke tahap
mana engkau berzina?"
"Sudah berzina, ya
Rasulullah," jawab Ghamidiyah.
"Adakah kamu bercium dan
berpelukan?" soal Rasulullah.
"Sudah berzina, ya Rasulullah.
Hubungan kami sudah seperti hubungan suami isteri, dan sekarang aku sedang
mengandung anak hasil daripada perbuatan zinaku. Hukumlah aku, wahai
Rasulullah. Hukumlah aku mengikut hukum Allah, agar aku terlepas daripada
hukuman Allah di akhirat kelak. Aku pohon agar dikenakan hukuman rejam ke
atasku," kata Ghamidiyah lagi.
"Kau pulanglah dulu. Tunggu
sehingga anak di dalam kandunganmu itu dilahirkan. Apabila engkau telah
bersalin, barulah engkau datang menemuiku," nasihat Rasulullah.
Apabila telah cukup sembilan
bulan 10 hari, maka lahirlah anak yang dikandung oleh Ghamidiyah. Sebaik sahaja
sihat dan mampu berdiri, Ghamidiyah pun pergi menemui Rasulullah. Dia
mengendong bayinya di dalam sehelai kain dan dibawa bersama.
"Wahai Rasulullah, aku sudah
melahirkan anak ini. Sekarang, aku sudah bersedia untuk dihukum. Jalankan
hukumanmu ke atas ku," kata Ghamidiyah.
Rasulullah memandang ke arah
Ghamidiyah dan bayi di dalam dukungannya silih berganti. Kemudian baginda
menjawab, "Kau pulanglah dahulu. Apabila bayi ini sudah mampu makan dengan
menggunakan tangannya sendiri, barulah engkau datang menemuiku semula".
Ghamidiyah pun akur. Dia pulang
kembali ke rumah. Bayi yang dilahirkan itu dipelihara dengan penuh kasih sayang
sehingga bayi itu besar. Akhirnya dia sudah mampu makan dengan tangannya
sendiri. Ghamidiyah pun pergi menemui Rasulullah buat kali yang ketiga, membawa
bersama anaknya. Di tangan anak itu terdapat sekeping roti yang sesekali
digigit dan dimamahnya.
"Wahai Rasulullah, lihatlah!
Anakku ini sudah boleh makan dengan tangannya sendiri. Sekarang aku pohon
kepadamu, hukumlah aku agar aku kembali suci untuk mengadap Allah yang maha Esa
nanti," kata Ghamidiyah.
"Kau carikan sebuah keluarga
yang rela menjaga anakmu ini apabila engkau sudah tiada kelak," kata
Rasulullah.
Ghamidiyah pun mencarikan
keluarga angkat untuk anaknya itu. Apabila telah ada orang yang sudi
memeliharanya, maka Ghamidiyah pun menyerahkan anaknya itu. Kemudian dia
kembali menghadap Rasulullah.
"Aku sudah selesaikan hal
yang engkau perintahkan kepadaku. Sekarang, bolehlah aku dihukum," kata
Ghamidiyah.
"Baiklah," kata
Rasulullah.
Ghamidiyah pun dibawa ke tempat
hukuman. Dia diikat di sebatang kayu. Orang ramai dikumpulkan di sekelilingnya.
Akhirnya Rasulullah pun mengarahkan agar Ghamidiyah direjam.
Semua orang mencapai anak batu
lalu dilontarkan ke arah wanita itu. Seorang sahabat Rasulullah mengambil
sebiji batu yang besar lalu melontar ke arah Ghamidiyah sambil mencelanya.
"Janganlah engkau menghina
dan mencerca Ghamidiyah. Sesungguhnya taubatnya itu diterima Allah. Sekiranya
hendak dibandingkan taubatnya dengan taubat yang lain, taubat ini adalah lebih
besar dari Gunung Uhud," kata Rasulullah.
Maka Ghamidiyah pun meninggal
dunia akibat direjam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5YLyB2QPB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment