ARKIB : 06/07/2011
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Madinah kini pesat membangun dengan jutaan manusia
berkunjung ke Masjid Nabawi saban tahun.
Menang atau kalah, adalah adat dalam perjuangan
atau peperangan. Tidak ada apa yang perlu dikesal atau ditangiskan kerana
peribahasa Melayu ada menyebut kalau menang jadi arang, kalah jadi abu.
Lantaran itu apabila bercerita mengenai Perang Uhud
maka kita tidak boleh lari daripada membicarakan hikmah besar di sebalik
kekalahan umat Islam dalam perang tersebut.
Sebelum itu, kita mungkin kesal, marah apabila
kemenangan yang hampir-hampir dapat digenggam akhirnya terlepas.
Ia akibat sikap gelojoh terhadap harta rampasan
perang telah menyebabkan tercatat satu luka besar pada sejarah - kekalahan umat
Islam.
Adalah sangat memalukan kerana adanya sifat tamak
di kalangan tentera tersebut dan tidak patuh pada arahan telah membolehkan
musuh kembali menyusun kekuatan dan menyerang tentera Islam dari belakang.
Namun seperti yang disebutkan, semua yang berlaku
itu ada hikmah-hikmah besar yang tersembunyi.
Apatah lagi jika kalah, tidak bermakna kita akan
kalah buat selama-lamanya.
Begitupun kekecewaan yang menyelubungi di kalangan
umat Islam akibat kalah dalam perang tersebut dapat 'dipujuk' dengan turunnya
ayat-ayat al-Quran yang tidak sahaja indah pada bahasa tetapi memberi keinsafan
dan kesedaran apabila kita menghayatinya selain kita kembali kuat untuk tidak
lagi berkeluh kesah akibat kekalahan yang lalu.
Ini apabila kita memahami isi kandungan ayat Allah
seperti berikut:
l Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan
mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa
yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi
musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh)
beriman. (ali-'Imran: 139)
l Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka
(tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah
(tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan
demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa
kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya
menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang
orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah
menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati syahid. Dan
(ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. (ali-'Imran: 140)
l Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa
berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami!
Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami,
dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan); dan tolonglah kami
mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir. (ali-'Imran: 147)
Demikianlah bagaimana Allah mengembalikan semula
semangat para pejuang Islam. Mereka tidak seharusnya patah semangat kerana
walaupun kalah di dunia namun akan menggapai kemenangan di akhirat.
Lalu, walaupun umat Islam di Madinah ketika itu
dicerca dan dihina oleh para musuh ekoran kekalahan mereka di Perang Uhud, agak
luar biasa apabila semua itu tidak menjadi kudis kepada mereka.
Terutama di pihak Nabi Muhammad yang tidak
sekali-kali tunduk kepada mana-mana pihak.
Sebaliknya, baginda tetap menjalankan kerja-kerja
dakwah di samping meningkatkan lagi soal keselamatan dan pertahanan daripada
diambil kesempatan oleh pihak musuh.
Kongsi Konten di :
SUMBERArtikel
Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eY1L3ivu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment