ARKIB : 18/06/2011
Harimau Malaya tetap hormati Myanmar
K. Rajagobal (kiri) memberi kata-kata semangat
kepada pemain Malaysia pada sesi latihan di Kota Bharu, semalam menjelang
perlawanan persahabatan menentang Myanmar malam ini.
KOTA BAHRU - Ketua jurulatih skuad kebangsaan,
Datuk K. Rajagobal tetap memandang serius perlawanan persahabatan menentang
Myanmar di Stadium Sultan Muhammed IV, malam ini.
Menurut Rajagobal, perlawanan ini cukup penting
buatnya mencari formula terbaik bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap
sebelum berdepan Taiwan pada pusingan kelayakan Piala Dunia di Stadium
Nasional, Bukit Jalil 29 Jun ini.
"Ini adalah kesempatan terbaik untuk saya
mencari kombinasi yang tepat ketika bertemu Taiwan nanti kerana kita mempunyai
muka-muka baru dalam pasukan, selain lima pemain kita berdepan masalah
kecederaan.
"Jadi, saya harap pemain dapat memberikan
fokus dan menunjukkan semangat juang yang tinggi pada perlawanan ini sebagai
persiapan berdepan Taiwan pada kelayakkan Piala Dunia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada
majlis suai kenal pemain Harimau Malaya dan pasukan Myanmar serta sesi bertemu
peminat di ruang legar pasar raya KB Mall, dekat sini, semalam.
Bekas pengendali Kelantan dan Selangor itu mengakui
berdepan masalah di bahagian serangan untuk bertemu Myanmar kerana hanya
mempunyai seorang penyerang iaitu Abdul Hadi Yahya.
"Norshahrul Idlan Talaha, Ahmad Fakhri
Saarani, Shahrizal Saad mengalami kecederaan sementara Safee Sali masih bersama
kelabnya Pelita Jaya FC.
''Saya harap Hadi dapat mengulangi sentuhannya
seperti yang dilakukan dalam saingan Liga Super dan persahabatan dengan Hong
Kong tempoh hari," ujarnya.
Jelasnya, situasi yang terpaksa dihadapinya kini
cukup sukar namun, percaya masih mampu menurunkan barisan terbaik, selain
formasi yang digunakan juga pastinya mampu memerangkap barisan muda Myanmar.
Sementara itu, jurulatih Myanmar, Milan
Zibadinovic, mengakui Malaysia mempunyai kelebihan pada perlawanan tersebut dan
hanya membariskan pemain muda untuk menentang pasukan negara.
"Malaysia mempunyai pasukan yang lebih baik.
Saya membawa semua pemain berstatus Olimpik dan ia adalah suatu yang baik untuk
mereka menerima pendedahan dan menjadi sebuah pasukan yang lebih baik dan kuat
pada masa akan datang.
"Saya mengharapkan satu permainan yang baik
malam esok (ini) dan kita akan sama-sama saksikannya," jelasnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0618&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eRDocFwR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment