ARKIB : 01/06/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PERTEMPURAN di medan Uhud masih tidak ada
kesudahannya lagi, kedua-dua belah pihak masih memberikan tentangan yang
sengit.
Belum ada pihak yang mengaku kalah lebih-lebih lagi
di pihak Islam walaupun pemimpin tentera mereka iaitu Rasulullah sendiri
mengalami kecederaan.
Namun tidak dapat dinafikan serangan pihak musuh
terhadap tentera Islam memang semakin hebat, terutamanya menumpukan serangan
terhadap Rasulullah sendiri.
Mereka begitu mencari Rasulullah di sana sini untuk
membunuh baginda.
Seorang sahabat, Nafi bin Jubair berkata: "Aku
mendengar seseorang dari kaum Muhajirin berkata: "Aku ikut dalam Perang
Uhud. Aku melihat anak panah berterbangan datang dari segala penjuru menuju
kepada Rasulullah, namun mujur tidak satu pun dapat mencederakan baginda,"
Semua ini apabila ada kalangan para sahabat sendiri
sanggup menjadikan diri perisai hidup agar Rasulullah terselamat.
Tidak akan dapat ditemui dalam mana-mana sejarah
perang apabila seorang sahabat seperti Abu Thalhah misalnya, menjadikan dirinya
sebagai pagar di hadapan baginda dan memasang dadanya untuk melindungi pemimpin
kesayangan umat Islam itu daripada terkena anak panah pihak musuh.
Malah dikatakan Abu Thalhah mampu dan cekap
menangkap anak panah yang laju dilepaskan daripada busurnya, lalu terus
ditangkap dan dipatah-patahkannya.
Seorang lagi, Abu Dujanah begitu melindungi
Rasulullah dengan menjadikan bahagian punggungnya sebagai perisai sehingga
dikatakan beberapa anak panah tertancap di punggungnya itu namun beliau tetap
mampu bertahan.
Sebenarnya banyak lagi kisah-kisah menarik boleh
dikutip di sepanjang berlakunya pertempuran di Medan Uhud ini.
Ini termasuklah semasa perang Uhud ini, Rasulullah
juga adalah seorang pemanah yang cekap. Ini sebagaimana yang diceritakan oleh
Qatadah bin Nu'man akibat terlalu kuat Rasulullah menarik anak panah dari
busurnya, menyebabkan tali busurnya terputus.
Lalu busur panah itu diambil oleh Qatadah kerana
busur itu adalah miliknya lalu dipasang semula dengan tali yang baru.
Pada saat itu dikatakan salah satu dari organ mata
Qatadah sendiri tersembul keluar akibat terkena serangan dari musuh, lalu
Rasulullah sendiri dengan menggunakan tangan baginda 'memasukkan' semula organ
itu ke dalam soket mata Qatadah.
Qatadah mengakui selepas dimasukkan organ itu
matanya adalah yang terbaik dan paling tajam pandangannya berbanding sebelum
ini.
Salah seorang sahabat besar Rasulullah sendiri,
iaitu Abdul Rahman bin Auf turut mengalami kecederaan yang agak teruk.
Beliau bertempur melawan musuh sehingga mulutnya
cedera yang mengakibatkan sebatang giginya tercabut. Namun seluruh tubuh
badannya juga terdapat 20 kesan kecederaan dan begitu juga kakinya tercedera
sehingga menyebabkan Abdul Rahman terpaksa berjalan dengan agak pincang selepas
itu.
Namun kisah yang paling menakjubkan mengenai
seorang lagi sahabat Rasulullah, iaitu Mush'ab bin Umair yang dibunuh oleh Ibnu
Qamiah yang disangkanya Mushab itu adalah Rasulullah kerana dikatakan mempunyai
wajah yang mirip baginda.
Mush'ab bertanggungjawab untuk membawa dan mengibar
bendera atau panji-panji tentera Islam. Sehinggalah tangan kanannya itu
terputus akibat ditetak oleh musuh supaya bendera tersebut boleh melemahkan
semangat tentera Islam andainya jatuh ke bumi dan tidak mampu dipertahankan
oleh sesiapa.
Namun sebelah tangannya masih lagi ada, tidak
cedera, lalu Mush'ab mengambil bendera yang jatuh itu dengan tangan kirinya
pula.
Namun akibatnya, selepas tangan kirinya itu pula
dipenggal sehingga putus, menyebabkan panji Islam jatuh juga ke bumi.
Namun Mush'ab mempunyai semangat yang sangat tinggi
dan luar biasa sifatnya. Beliau tetap mempertahankan maruah Islam dengan
berusaha untuk mengibarkan panji islam itu walaupun kehilangan kedua-dua belah
tangan dan mengalami kecederaan yang teruk.
Beliau membongkok dan cuba mengambil bendera itu
dan dikepitkan antara dada dan lehernya. Akhirnya dapatlah juga bendera itu
berkibar dengan 'harga' yang paling mahal dan penuh berdarah!
Begitu pun, selagi bendera itu bersamanya, selagi
itulah Mush'ab menjadi sasaran serangan pihak musuh yang tiada belas kasihan
dan ampun walaupun Mush'ab kini tinggal separuh nyawa untuk mempertahankan
panji Islam itu.
Beliau akhirnya mati dibunuh oleh Ibnu Qamiah, lalu
gugurlah seorang pahlawan Islam yang kehebatan semangatnya itu untuk
mempertahankan Islam itu tiada tolok bandingnya sehingga kini.
Lalu semangat Mush'ab yang seperti itu diteruskan
oleh sepupu baginda, Ali bin Abi Talib yang mengambil alih mengibarkan bendera
Islam dan dipertahankan sehingga perang tamat.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0601&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eLa7VPjM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment