ARKIB : 11/05/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
BAPA saudara Rasulullah, Saidina Hamzah Abdul
Mutalib benar-benar seorang pahlawan Islam sejati walaupun akhirnya tumpas dan
syahid di tangan musuh di Perang Uhud.
Sebelum syahid, belaiu berjaya membunuh lebih 30
tentera kafir dalam perang itu. Bayangkan berapa ramai lagi yang bakal tewas di
tangannya andai beliau tidak syahid di tangan hamba kulit hitam Warsyi bin
Harb.
Kehebatan Assadullah atau Singa Allah itu benar-benar
tiada tandingannya dan sangat dikagumi!
Tetapi sayangnya sejauh mana generasi terutama yang
muda Islam hari ini mengenali Saidina Hamzah berbanding nama 'pahlawan' yang
kebanyakannya tidak pernah wujud pun di muka bumi ini.
Malah direka dengan tokok tambah segala macam
kekuatan dan kehebatan sedangkan kesemua 'pahlawan' itu wujud atas nama animasi
kartun dan lakonan untuk melariskan jualan tiket-tiket wayang.
Kehebatan Saidina Hamzah wajar 'dijual' supaya
lebih ramai lagi 'Singa-Singa Allah' sepertinya dapat kita lahirkan.
Ia antara lain membuktikan bahawa jumlah musuh yang
ramai bukan penyebab umat Islam mengaku kalah dalam perjuangan. Sebaliknya,
perlu kuat persis Saidina Hamzah yang relatifnya adalah manusia biasa, tetapi
atas nama jihad dan mengharapkan syurga Allah, maka satu demi satu musuh
ditumpaskan.
Perang Uhud memang benar-benar mengumpulkan ramai
pahlawan Islam yang terbilang. Tetapi yang terbilang selain dari Saidina Hamzah
ialah Abu Dujanah seperti yang diceritakan sebelum ini.
Kecuali Abu Dujanah yang menampakkan ciri pahlawan
yang menggerunkan musuh dengan melilitkan serban merah di kepalanya,
pahlawan-pahlawan Islam yang lain mungkin kelihatan begitu 'sederhana'.
Lebih bersifat tawaduk dan rendah diri malah
mungkin mempunyai susuk badan yang kecil tetapi kekuatan yang dipamerkan adalah
sangat luar biasa.
Salah satu kisah menarik, apabila seorang pahlawan
musuh bernama Thalhah dengan sombong dan bongkak mencabar mana-mana pahlawan
Islam berlawan dengannya pada peringkat awal sebelum Perang Uhud meletus.
"Siapa yang mahu bertanding berlawan dengan
aku," teriak Thalhah.
Apabila tiada pahlawan Islam yang mahu menyahut
cabarannya, Thalhah pun terus menghamburkan kata-kata yang menyakitkan hati
pasukan tentera Islam.
"Wahai pengikut-pengikut Muhammad, kamu
menyangka Tuhan akan menghantar kami ke neraka dengan pedang kamu dan
menghantar kamu ke syurga dengan pedang kami!
"Siapakah antara kamu yang akan mempercepatkan
kami ke neraka dengan pedangnya? Atau pun kami akan mempercepatkan kamu ke
syurga dengan pedang kami?
"Sungguh, kamu berdusta. Demi Latta dan Uzza,
sekiranya kamu semua betul-betul percaya begitu, keluarkanlah seorang daripada
kamu kepada kami sekarang," teriaknya.
Disebabkan kata-kata yang angkuh itu, sahabat besar
Rasulullah, Saidina Ali bin Abi Talib pun keluar menyahut cabaran si Thalhah.
Tanpa membuang masa, menantu Rasulullah itu menyerang Thalhah dengan sekali
libasan pedangnya sahaja berjaya mencederakan kaki pahlawan Quraisy itu
sehingga menyebabkan dia cedera parah dan terjatuh tanpa sempat melawan.
Ali kemudiannya meninggalkan Thalhah begitu sahaja
yang tidak mati walaupun kakinya putus akibat libasan pedangnya.
Rasulullah bertanya mengapa Saidina Ali tidak terus
membunuh sahaja musuh yang begitu sombong mencabar tentera Islam itu.
"Thalhah kini begitu malu dengan kata-katanya
dan saya kasihan dan tidak sampai hati membunuhnya," jawab Ali dengan
penuh makna.
Dikatakan, sebelum pasukan musuh bertempur secara
besar-besaran dengan tentera Islam, hampir 12 pahlawan Quraisy berjaya dibunuh
oleh para pahlawan Islam dalam adegan atau pertarungan satu lawan satu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5eKM2iOTD
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment