ARKIB : 08/07/2011
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SURAH ini termasuk dalam surah Makiyyah dengan
ijmak. Ia terdiri daripada lima ayat dan diturunkan setelah surah al-Fath.
Hubungan surah ini dengan surah al-Nasr.
Pada surah terdahulu Allah SWT menerangkan bahawa
ganjaran orang yang taat adalah pertolongan dan kemenangan di dunia dan pahala
yang sempurna di akhirat.
Di dalam surah ini Allah SWT menerangkan akibat
yang dideritai oleh pelaku maksiat iaitu kerugian di dunia dan ancaman seksa di
akhirat.
Sebab turunnya surah ini
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a
yang berkata: Nabi SAW keluar ke Bata lalu naik ke sebuah bukit seraya
memanggil: Wahai kawan-kawan yang dihormati, berkumpullah ke mari. Lalu orang
Quraisy berkumpul mendekati baginda.
Kemudian baginda berkata: Apa pendapatmu sekiranya
aku beritahu kepadamu bahawa musuh akan menyerangmu pagi-pagi dan petang?
Adakah kamu membenarkanku. Mereka menjawab: Ya.
Kemudian Baginda bersabda: Aku memberi khabar yang
menakutkan kepada kamu akan seksa yang keras. Abu Lahab menjawab: Hanya untuk
keperluan ini engkau mengumpulkan kami? Celaka engkau.
Dalam satu riwayat Abu Lahab berdiri menggerak
gerakan kedua-dua tangannya seraya berkata: Celaka engkau sepanjang masa,
untuk inikah engkau mengumpulkan kami? Maka Allah SWT menurunkan surah ini.
Firman Allah SWT: Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan
sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan
apa yang ia usahakan.
Berkenaan perkataan tabbat, ada lima pendapat:
* Kerugian dan kehinaan, seperti pendapat Ibn
Abbas.
* Sesat, sebagaimana pendapat Ata.
* Binasa dan kematian, seperti pendapat Ibn Jubair.
* Kosong dari segala kebaikan sebagaimana pendapat
Yaman bin Riab.
* Kerugian dan kebankrapan. Inilah pendapat
Qatadah.
Adapun maksud kedua belah tangan Abu Lahab ada dua
pendapat:
* Diri Abu Lahab itu sendiri.
* Segala amalan Abu Lahab.
Berkenaan dengan kalimah watab, ia memberi empat
maksud:
* Sebagai penguat untuk yang pertama.
* Kedua belah tangan Abu Lahab binasa dengan
tegahan Allah daripada menzalimi Rasul-Nya.
* Yakni sebenarnya dia telah binasa seperti
pendapat Ibn Abbas.
* Telah binasa anak Abu Lahab seperti pendapat
Mujahid.
Sayid Qutub berkata: Maksudnya, Abu Lahab telah
binasa. Harta dan segala usahanya tidak dapat menolong dan menghalangnya
daripada kebinasaan. Itulah balasan di dunia, sedangkan balasan di akhirat
kelak amat dahsyat.
Firman Allah SWT: Kelak dia akan masuk ke dalam api
yang bergejolak.
Dia kelak akan menderita akibat bakaran panas api
neraka dan akan diseksa dengan nyalaan api itu.
Kesimpulannya, Abu Lahab dalam kerugian, amalnya
sia-sia, usahanya yang ditempuh untuk menentang agama Allah SWT menjadi gatal,
harta yang dibanggakannya tidak dapat menolongnya dan dia tidak dapat pula
dapat menolong dirinya.
Ini kerana Allah SWT mengangkat seruan Rasul-Nya,
menyebarkan dakwahnya, menyiarkan penyebutannya dan Abu Lahab akan diseksa di
hari kiamat dengan api yang bergejolak lagi menyala-nyala, pembakaran yang
keras, disediakan oleh Allah SWT bagi orang kafir, melebihi penyeksaannya di
dunia dengan pembatalan usahanya dan tertolak amalnya.
Isterinya yang membantu kekufuran dan keingkarannya
itu akan diseksa bersamanya kerana dia menjadi tangan kanan Abu Lahab dalam
menyakiti dan menyeksa Rasulullah SAW. Dia ke sana ke mari mengadu domba untuk
membuat kerosakan, menyalakan api permusuhan dan menimbulkan fitnah.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5eY6JBtWf
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment