ARKIB : 27/05/2011
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SURAH al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk
dalam kategori surah Makiyyah dan diturunkan selepas surah al-Kafirun.
Hubungan surah ini dengan surah al-Humazah ialah dalam
surah al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta tidak dapat menjauhkan
daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT menyatakan bukti tentang
perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.
Seorang panglima tentera Habsyah yang menguasai
Yaman bercita-cita menyerbu dan meruntuhkan Kaabah yang dimuliakan supaya orang
Arab tidak melakukan ibadah haji di sana.
Dia menuju Mekah diiringi tentera yang ramai dan
gajah yang banyak bagi menambahkan rasa takut pada orang ramai. Dia terus mara
sambil mengalahkan sesiapa saja yang dijumpainya, sampai ke al-Mughammas iaitu
suatu tempat yang berdekatan kota Mekah.
Dia kemudian mengirim utusan kepada penduduk Mekah
memberitahu bahawa tujuan kedatangannya bukan untuk berperang dengan mereka,
tetapi meruntuhkan Baitullah.
Mereka ketakutan, lalu mencari perlindungan di
puncak-puncak gunung sambil melihat apa yang akan dia lakukan. Pada hari kedua
penyakit cacar dan campak mula menular di kalangan tentera Habsyah.
Ikrimah mengatakan, itu adalah permulaan penyakit
cacar yang menular di negara Arab. Wabak itu menimpa mereka dengan kesan yang
tidak ada tandingannya. Di mana daging mereka berguguran sehingga mereka dan
panglima lari ketakutan.
Panglima mereka juga terkena wabak tersebut dan
dagingnya terus tanggal sedikit demi sedikit, seketul demi seketul, akhirnya
dada mereka terbelah dan mati di San'a.
Bagaimanapun pada ulama berkhilaf pendapat mengenai
bilada itu berlaku. Ada tiga pandangan mengenai, iaitu:
i. Pada tahun kelahiran Rasulullah SAW. Ini pendapat
yang asah yang dikemukakan oleh kebanyakan ulama seperti pendapat Ibn Kathir
dalam al-Bidayah wa al-Nihayah.
ii. Ia berlaku selepas 40 tahun peristiwa serangan
gajah. Ini pendapat Muqatil.
iii. Kelahiran berlaku 23 tahun selepas serangan
tersebut. Ini pendapat al-Kalbi, Ubaid bin Umair dan Abu Soleh.
Firman Allah SWT: Apakah kamu tidak memperhatikan
bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah? Bukankah dia telah
menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?
Perkataan tidakkah kamu memperhatikan ditafsirkan
dengan dua pendapat:
i. Tidakkah kamu diberitahu dan dikhabarkan seperti
pendapat al-Farra'.
ii. Tidakkah kamu mempelajari sebagaimana kata
al-Zajjaj.
Sayid Qutub berkata: "Tidakkah rancangan jahat
mereka gagal dan tidak mencapai sasarannya sama seperti orang yang sesat jalan
dan tidak sampai kepada tempat yang dituju."
Mungkin dengan pertanyaan ini Allah mahu
mengingatkan kaum Quraisy terhadap nikmat-Nya kepada mereka iaitu nikmat
menjaga dan memelihara rumah Kaabah semasa mereka tidak berdaya menghadapi
serangan tentera bergajah yang kuat.
Tentera Allah dalam bentuk burung
Firman Allah SWT: Dan dia mengirimkan kepada mereka
burung yang berbondong-bondong.
Perkataan ababil ditafsirkan dengan lima pendapat:
i. Dalam bentuk berselerakan datangnya burung
tersebut dari sana ke sini dengan segenap penjuru. Inilah pendapat Ibn Mas'ud
dan al-Akhfash.
ii. Burung tersebut datang selepas satu kumpulan dan
datang kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ibn Abbas, Mujahid dan Muqatil.
iii. Burung tersebut datang dengan jumlah yang
banyak. Inilah pendapat al-Hasan dan Thawus.
iv. Burung tersebut datang dalam bentuk berkumpulan
diikuti dengan kumpulan yang lain. Inilah pendapat Ata' dan Abu Soleh.
v. Ia mempunyai pelbagai jenis warna sebagaimana
pendapat Zaid bin Aslam.
Para ulama khilaf berkenaan sifat burung tersebut
iaitu:
i. Burung tersebut mempunyai belalai dan kuku
seperti kuku anjing. Inilah pendapat Ibn Abbas.
ii. Ikrimah berkata: Kepala mereka seperti binatang
buas.
iii. Ibn Ishak berpendapat: Mereka seumpama
binatang helang yang menyambar.
Begitu juga mereka khilaf berkenaan warna burung
tersebut:
i. Warnanya hijau sebagaimana pendapat Ikrimah dan
Said bin Jubair.
ii. Warnanya hitam sebagaimana pendapat Ubaid bin
Umair.
iii. Warnanya putih sebagaimana pendapat Qatadah.
Firman Allah SWT: Yang melempari mereka dengan batu
(berasal) dari tanah yang terbakar.
Berkenaan dengan burung yang membawa batu seperti
kata Qatadah: Setiap seekor burung membawa tiga biji batu, dua biji batu di
kakinya, manakala sebiji lagi di muncungnya.
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengirimkan
sekawan burung yang membawa batu kering yang dijatuhkan kepada anggota-anggota
tentera itu menyebabkan mereka menderita penyakit cacar atau campak dan membawa
maut."
Kemungkinan juga binatang yang terbang itu terdiri
daripada jenis nyamuk atau lalat membawa kuman penyakit. Atau batu itu daripada
tanah liat yang kering dan beracun yang diterbangkan angin lalu melekat pada
kaki-kaki burung itu.
Jika tanah liat itu menyentuh tubuh maka racun itu
akan meresap dan melukakan apa yang mengenainya dan berakhir dengan kerosakan
tubuh serta keguguran dagingnya.
Jelas bahawa lalat membawa kuman penyakit. Seekor
lalat yang membawa kuman boleh menyebabkan manusia dijangkiti penyakit dan
menular kepada semua orang.
Oleh yang demikian, jika Allah SWT menghendaki
membinasakan sejumlah besar tentera dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah
suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.
Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat terhadap
kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan mereka
yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh
memusnahkan manusia.
Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan manusia
dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka adalah
makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di tempat
tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.
Imam Muhammad Abduh berkata: "Bagi orang yang
kejam ini yang hendak merobohkan Baitu al-Haram, Allah SWT mengirimkan sesuatu
yang dapat membawa kuman penyakit cacar atau campak yang kemudiannya akan
membinasakannya dan kaumnya sebelum sempat masuk kota Mekah."
Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT yang
dilimpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah berhala
kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW meskipun
Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera bergajah yang
ingin menghancurkan Baitu al-Haram yang tidak berdosa itu.
Firman Allah SWT: Lalu dia menjadikan mereka
seperti daun-daun yang dimakan (ulat).
Selepas terkena batu, tubuh badan mereka jatuh
berguguran sedikit demi sedikit sebesar hujung jari dan akhirnya terbelah
dadanya hingga binasa.
Abdul Muttalib berkata: "Burung tersebut amat
pelik." Lalu beliau pernah menghantar anaknya Abdullah untuk melihat apa
yang terjadi kepada puak Abrahah dan pulang seraya melaporkan semuanya binasa.
Kemudian Abdul Muttalib keluar bersama dengan
rakannya untuk mengambil harta yang ditinggalkan. Ada pendapat mengatakan
bahawa tidak seorang pun yang selamat kecuali Abu Yaksum, di mana burung
sentiasa mengekorinya dari atas kepalanya, sedangkan dia tidak perasan sehingga
sempat masuk bertemu al-Najashi dan mengkhabarkan dengan peristiwa yang
berlaku.
Setelah selesai kata-katanya, burung tersebut
melepaskan batu dan akhirnya dia mati. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT
memperlihatkan kepada al-Najashi tentang bagaimana Allah SWT membinasakan kaum
tersebut.
Hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi hidayah
dari kesesatan. Semoga Allah selamatkan kita dari sebarang bala dan bencana.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5eLDA7hL7
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment