SUKAN»Bola
Selasa, 19 Februari 2019 | 5:06pm
BEKAS penyerang Perlis, Safee Sali kini hanya setapak lagi untuk bergelar pemain baharu Petaling Jaya City FC bagi musim 2019. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Safee hampir pasti ke PJ City
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang Perlis, Safee Sali kini hanya setapak lagi untuk bergelar pemain baharu Petaling Jaya City FC (PJ City FC) bagi musim 2019.
Perkembangan itu didedahkan oleh jurulatih skuad Liga Super itu, K Devan ketika dihubungi BH Sukan, sebentar tadi.
Devan mengesahkan pengurusan PJ City FC sedang mengadakan rundingan bersama penyerang kebangsaan itu hari ini dengan keputusan mengenai rundingan terbabit dijangka diketahui secepat mungkin.
“Perbincangan sedang dilakukan dan jika semuanya berjalan lancar, kita melihat tiada masalah untuk Safee beraksi bersama PJ City FC.
“Apapun, saya serahkan kepada pengurusan tertinggi untuk membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini . Saya dimaklumkan satu sidang media akan dilangsungkan esok,” katanya.
Terdahulu, bekas penyerang PKNS FC itu nyata masih 'laku' dan memiliki aura tersendiri selepas lebih lima pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebelum jendela perpindahan pertama ditutup, esok.
Sah meninggalkan Perlis selepas pasukan itu berdepan tunggakan gaji, penyerang berusia 35 tahun itu mendedahkan dia akan bersama sebuah pasukan berpangkalan di Lembah Klang yang beraksi dalam saingan Liga Super.
"Saya tidak boleh memaklumkan pasukan mana kerana masih lagi berada dalam perbincangan. Saya juga perlu memikirkan dengan keluarga saya mengenai keputusan ini.
“Memang saya mendapat banyak tawaran seperti dari PJ City FC, Selangor, Kelantan dan UiTM FC. Banyak panggilan telefon diterima tetapi saya perlu menghormati kontrak saya bersama Perlis.
"Apapun, kali ini saya tekad dengan keputusan ini dan saya memerlukan masa untuk membuat keputusan yang terbaik demi karier saya," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 19 Februari 2019 | 5:06pm
No comments:
Post a Comment