ARKIB : 10/08/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Tidak salah berbaik-baik dengan Yahudi tetapi
dengan berhati-hati kerana Rasulullah sendiri pernah terkena dengan kelicikan
kaum ini. - Gambar hiasan
DALAM peristiwa Ar Raji ini, turut menyaksikan
tidak sahaja Zaid bin Datsinah yang terkorban dan syahid, malah seorang lagi
rakannya, Khubaib bin Adi yang ditawan musuh turut syahid.
Apa yang dilalui oleh Khubaib sebelum dibunuh
ditangan orang Quraisy adalah lebih teruk daripada apa yang dialami oleh Zaid.
Sebelum beliau dibunuh, dikatakan Khubaib telah
diseksa dengan begitu kejam ketika ditawan dan ditahan oleh Al Harits bin Amir
bagi membalas dendam atas kematian Uqbah bin Al Harits di Perang Badar dahulu.
Begitu teruk sekali Khubaib diseksa sehingga pada
suatu hari beliau berkata kepada orang yang menyeksanya itu; "Orang yang
terhormat tidak akan bertindak sebegini kejam terhadap orang yang ditawannya,
apa tah lagi tawanannya itu bakal dibunuh tidak lama lagi."
Kata-kata Khubaib telah berjaya membuatkan orang
yang menyeksanya itu terdiam dan berhenti daripada menzaliminya.
Malah mereka mula melayan Khubaib dengan penuh
hormat kerana selama ditawan itu Khubaib tidak pernah melawan, apatah lagi
memaki hamun atas segala layanan buruk dan penyeksaan yang dilakukan
terhadapnya.
Sehinggalah pada hari yang ditetapkan hukuman mati
yang akan dijatuhkan ke atasnya, lalu Khubaib pun dibawa keluar dari Kota Mekah
dengan hampir kesemua para pembesar Quraisy dan penduduk Mekah turut mengiringi
Khubaib bagi menyaksikan perlaksanaan hukuman tersebut.
Tetapi sebelum hukuman bunuh itu dijalankan,
Khubaib meminta untuk mendirikan solat sebagai permintaan beliau yang terakhir
sebelum dibunuh.
"Tinggalkan saya sebentar kerana saya hendak
mengerjakan solat sebelum hukuman dijalankan," kata Khubaib.
Semua yang hadir memenuhi permintaan Khubaib itu
dan mereka meninggalkannya sendirian. Selepas selesai Khubaib mengerjakan solat
dua rakaat itu, maka persiapan pun dilakukan untuk menyalib Khubaib sebagai
hukuman mati yang bakal meragut nyawanya.
(Sesetengah riwayat mengatakan Khubaib mati di tali
gantung)
Khubaib pun berkata; "Demi Allah, sekiranya
tidak kerana aku bimbang, kamu akan menyangka aku sengaja melengah-lengahkan
solat kerana takut mati dibunuh, nescaya aku menambah dan memperbanyakkan
solatku ini."
Lalu dengan air mata yang berlinangan di pipinya,
sebelum hukuman dijalankan ke atasnya Khubaib sempat berdoa; "Ya Allah,
hitunglah bilangan mereka yang hadir pada hari ini bagi menyaksikan kematianku
ini, bunuhlah kesemua mereka ini, jangan Engkau tinggalkan seorang pun daripada
mereka ini hidup!
"Ya Allah, Ya Tuhanku, sampaikanlah berita
mengenai kami ini kepada Rasul Engkau, Muhammad kerana tiada beliau mengetahui
akan nasib menimpa kami sehingga Engkau Ya Allah menyampaikannya."
Malah dikatakan juga Khubaib sempat bersyair, iaitu
antara bait-bait dalam syairnya itu;
Bergenang air mataku tiada mencurah,
Tiada peduli andaiku dibunuh sebagai muslim,
Di sebelah mana jua tubuhku terbaring,
Semua itu di sisi Allah jika Dia mahu,
Diberkatinya semua sendi daging yang bakal hancur
remuk ini...
Sesudah itu, Khubaib pun dibunuh oleh orang upahan
Quraisy di tengah-tengah kawasan lapang di luar Kota Mekah yang ditonton oleh
orang ramai itu.
Maka seorang lagi mati syahid kerana iman yang
kental mempertahankan agama Allah tanpa mudah menyerah kalah dengan segala
macam tawaran dan umpan.
Menurut cerita, Allah menurunkan juga wahyu, ayat
al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa pembunuh Zaid bin Datsinah dan Khubaib
bin Adi ini.
Firman-Nya yang bermaksud: Dan antara sebahagian
manusia, ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah dan Allah
Maha Penyantun kepada hamba-hamba-NYA. (al-Baqarah: 207).
Sebelum ini, sebelum tewas terkena anak panah
daripada pihak musuh, Ashim bin Tsabit yang mengetuai misi dakwah enam sahabat
ini, sempat juga melaungkan sebuah syair dengan semangat berapi-api, iaitu;
Mati itu hak dan hidup itu adalah mati. Tiap-tiap
sesuatu yang sudah diputuskan oleh Allah, tentu akan datang kepada seseorang
dan orang itu pasti akan kembali juga kepada-NYA...
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0810&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5farMtKQm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment