Ad

Monday, 22 July 2013

Fadhli tidak percaya tewaskan Cech

Pemain-pemain Malaysia meraikan kejayaan Fadhli Shas (tiga dari kiri) menjaringkan gol tunggal pasukan kebangsaan menentang Chelsea dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin.
SHAH ALAM - Penjaring gol tunggal Harimau Malaya, Mohd. Fadhli Shas, merasakan dia bagaikan bermimpi dapat menjaringkan gol dengan menewaskan penjaga gol nombor satu Chelsea, Peter Cech dalam perlawanan siri Jelajah Asia 2013 di Stadium Shah Alam.
Walaupun jaringan itu tidak mampu menghalang kemenangan selesa The Blues ke atas Malaysia, Fadhli mengakui tidak akan melupakan jaringan terbabit yang merupakan gol sulungnya bersama pasukan kebangsaan.
Tambahnya, dia sentiasa berusaha untuk menjaringkan gol sebelum ini terutama pada situasi bola mati, namun nasib tidak pernah menyebelahinya dan rezeki dia akhirnya hadir pada perlawanan menentang Chelsea.
"Selalu pada situasi sepakan penjuru atau sepakan percuma, saya selalu bergerak masuk ke dalam kotak penalti tetapi tidak pernah dapat menjaringkan gol dalam kebanyakan perlawanan sebelum ini.
"Saya tertanya pada diri saya sama ada saya bermimpi atau tidak kerana macam tidak percaya dapat menewaskan Peter Cech dan cukup teruja perasaan ini apabila mampu menjaringkan gol yang cukup bermakna sepanjang karier.
"Gol itu akan dikenang sampai bila-bila dan saya anggap itu satu rezeki cukup berharga kerana sebelum perlawanan pun memang langsung tidak terfikir untuk menjaringkan sebarang gol," katanya yang ditemui selepas perlawanan.
Fadhli Shas memastikan gol sagu hati buat Malaysia hadir pada masa kecederaan selepas sepakan percuma yang diambil Safiq Rahim gagal ditampan kemas oleh Cech dan pemain kelahiran Lumut, Perak itu menanduk masuk bola muntah yang hadir di depannya.
Gol itu sekurang-kurangnya menjadi pengubat duka selepas melihat empat gol Harimau Malaysia bocor melalui jaringan Bertrand Traore, Kevin De Bruyne, Romelu Lukaku dan Victor Moses setelah 60 peratus permainan dikuasai Chelsea.
Pada masa sama, Fadhli mendedahkan sebagai pemain pertahanan, perlawanan menentang kelab bimbingan Jose Mourinho itu satu pengalaman yang cukup bermakna kerana dapat berdepan penyerang-penyerang berkelas dunia seperti Demba Ba dan Lukaku.
"Memang dapat banyak pengajaran berguna dalam perlawanan ini iaitu tentang bagaimana berdepan dengan penyerang seperti Demba Ba dan Lukaku, jelas mereka begitu pantas dan fizikal mereka memang kuat.
"Saya rasa seronok dapat pendedahan sebegini kerana sekurang-kurangnya memberikan satu ilmu baru dan mematangkan lagi tahap permainan saya di masa akan datang," katanya.[1]

No comments:

Post a Comment