Ad

Friday 19 July 2013

PERSEDIAAN PASUKAN HARIMAU MALAYA MENENTANG CHELSEA

Harimau pasti bangkit
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD hafiz.ahmad@utusan.com.my

SAFEE Sali diasak pemain Chonburi FC, Surawich Logarwit pada perlawanan persahabatan di
 Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
KUALA LUMPUR - Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal mengakui keputusan seri tanpa jaringan Harimau Malaya dengan kelab Thailand, Chonburi dalam perlawanan persahabatan kelmarin, bukanlah yang sepatutnya dicapai namun menjanjikan perubahan mendadak apabila menghadapi Chelsea, 21 Julai ini.
Beliau turut menganggap ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal sudah cuba memberikan peluang kepada beberapa pemain yang dipanggil menyertai pasukan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, biarpun hanya dengan menentang kelab pelawat yang didapati tidak menurunkan ramai tonggak mereka.
"Namun menentang Chelsea satu perlawanan yang lebih penting dan kami cuba pastikan pemain berikan persembahan terbaik kerana peminat turut akan bersama meneliti aksi mereka. Saya juga yakin Chelsea yang walaupun masih dalam pramusim liga mereka, pasti berikan persembahan yang terbaik.
"Jadi tiada sebab lagi untuk pemain kita tidak menampilkan mutu permainan yang mempunyai pembaharuan atau mencapai keputusan yang membanggakan. Walaupun bukanlah kemenangan yang kita cari, persembahan terbaik akan tetap menjadi KPI (penunjuk utama prestasi) atau penanda aras pasukan kita," katanya.
Dalam perlawanan yang cuma disaksikan 200 penyokong setia Harimau Malaya kelmarin, barisan bimbingan Rajagobal didapati ketandusan idea untuk menjana serangan mahupun mencipta peluang jaringan gara-gara ketiadaan gandingan utama di depan, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd. Safee Mohd. Sali.
Aksi longlai gandingan pengganti mereka yang turut diuji seperti Mohd. Amri Yahyah, Ahmad Fakri Saarani dan Mohd. Nizad Ayub sebaliknya sempat ditampung dengan persefahaman mantap dan berdisiplin benteng negara yang diketuai Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak untuk menafikan percubaan gol pelawat. 


Muka baharu mula pamer belang

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


SKUAD Harimau Malaya bakal menguji kemampuan sebenar mereka ketika menentang Chelsea pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam Ahad ini.
JURULATIH Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal tetap berpuas hati dengan persembahan skuad kendaliannya terutama pemain-pemain baharu ketika mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan kelab Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Antara pemain yang dimaksudkan Rajagobal itu ialah penyerang Negeri Sembilan, Nazrin Nawi, Junior Eldstal (Sarawak), Mohd. Nizad Ayub (Selangor PKNS) dan Azizi Mat Rose (Kelantan).
Jelas Rajagobal, kehadiran beberapa muka baharu dalam skuad Harimau Muda memberikan ilham buat beliau untuk merangka skuad terbaik menjelang aksi persahabatan menentang Chelsea di Stadium Shah Alam Ahad ini.
“Bukan senang buat pemain baharu beraksi dalam penampilan pertama. Sejujurnya, saya sangat berpuas hati dengan persembahan mereka.
“Mereka cukup teruja untuk mempamerkan aksi terbaik selepas mendapat peluang (beraksi bersama skuad Harimau Malaya).
”Lihat aksi Junior. Biarpun tampil sebagai pemain gantian dan beraksi selama 13 minit, berbekal fizikal serta kesungguhan, dia mahu mencuba menunjukkan sesuatu kepada kita semua.
“Begitu juga dengan aksi Nizad. Saya fikir kita kena bagi peluang dan ruang kepada mereka ini,” kata Rajagobal kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.Mengulas lanjut, Rajagobal berkata, beliau tidak mengutamakan keputusan perlawanan, sebaliknya lebih berminat untuk membina satu persembahan meyakinkan buat skuad negara.
Katanya, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan barisan Harimau Malaya yang dilihat berjaya dominasi sepenuhnya aksi babak kedua.
“Selepas tiga hari berlatih, saya gembira dan berpuas hati walaupun kami bermula dengan perlahan.
“Ia satu perlawanan persahabatan yang cukup bagus dan kami tampak lebih agresif pada separuh masa kedua.
“Saya tidak mahu mengambil risiko dengan meletakkan pemain utama tetapi keputusan (seri) ini sudah cukup bagus bagi saya.
“Saya lihat ke arah positif dan mahu pemain-pemain saya menikmati perlawanan tersebut,” katanya.


       Perlawanan dalam bulan Ramadan amat mencabar. Tetapi pasukan Harimau Malaya mesti bangkit melawan Chealsea. Perlawanan ini merupakan perlawanan persediaan pasukan negara untuk Kelayakan Piala Asia 2015. Kehadiran semula Ketua Pasukan Shafiq Rahim mampu menguatkan kembali pasukan Harimau Malaya. Shafiq Rahim seorang pemain yang sangat cemerlang apabila mewakili pasukan negara. Beliau bermain lebih baik ketika mewakili pasukan negara berbanding ketika mewakili Johor Darul Takzim. Jika dilihat jumlah jaringan pasukan kebangsaan Shafiq menjaringkan 8 gol, kalau dikira gol yang dijaringkan semasa perlawanan dengan Arab Saudi Shafiq telah menjaringkan 9 gol. Jaringan ini meletakkan Shafiq menjadi penjaring kedua terbanyak berbanding penjaring terbanyak pasukan kebangsaan kini iaitu Safee Sali yang menjaringkan 21 gol untuk negara. 

No comments:

Post a Comment