Chelsea libas
Harimau Malaya
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan FERZALFIE FAUZI sukan @utusan.com.my
NORSHAHRUL Idlan Talaha (kanan) memaksa kapten Chelsea,
John Terry bekerja keras apabila mengasak kubu The Blues pada perlawanan
persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi. Chelsea menang 4-1. -
Utusan/Djohan Shahrin
SHAH ALAM - Malaysia XI telah memberikan yang termampu
tetapi inilah realitinya, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal jelas tidak mampu
menandingi kualiti yang ada pada Chelsea apabila tewas 1-4 dalam perlawanan
siri Jelajah Asia 2013 di Stadium Shah Alam, semalam.
Di hadapan 50,000 penonton, The Blues mempamerkan aksi
kelas tinggi yang cukup berbeza dengan apa yang mereka pamerkan ketika
menentang Pilihan Thailand di Bangkok melalui tempo permainan yang lebih pantas
dan tersusun yang membuatkan Harimau Malaya terpaku sekali gus hajat untuk
mengulangi pencapaian kekalahan 0-1 pada dua tahun lalu.
Empat jaringan Chelsea disumbangkan oleh tiga pemain muda
mereka, Bertrand Traore, Kevin De Bruyne dan Romelu Lukaku manakala satu lagi
gol melalui Victor Moses sementara pemain pertahanan, Mohd. Fadhli Shas
menggembirakan seluruh penyokong Malaysia dengan jaringan tunggal pada minit
ke-90.
Cuma aksi dalam tempoh lima minit terakhir perlawanan
Harimau Malaya layak diberikan pujian dan hampir berjaya menambahkan gol kedua
pada masa kecederaan menerusi Mohd. Nizad Ayub, namun dihampakan oleh Ashley
Cole yang mengeluarkan bola di atas garisan.
Selain daripada itu, anak-anak buah Rajagobal terpaksa
berhempas pulas sepanjang permainan memberi saingan kepada Chelsea dalam
segenap aspek terutama pada aspek fizikal dan kepantasan yang ada pada skuad
bimbingan Jose Mourinho.
Benteng pertahanan negara jelas berdepan kesukaran untuk
bertarung dengan kelincahan dua penyerang Chelsea, Romelu Lukaku dan Demba Ba
yang sering kali mudah mengatasi kawalan Mohd. Aidil Zafuan dan rakan-rakan.
Ketika permainan baru sahaja memasuki minit ke-6, Traore
tidak menunggu lama meletakkan The Blues di hadapan dengan sepakan leret kencang
yang mudah menewaskan Farizal Marlias hasil gerakan De Brunye.
Harimau Malaya dapat memberikan sedikit ancaman pada
pertengahan babak pertama dan K. Gurusamy terlepas peluang untuk menyamakan
kedudukan pada minit ke-22 apabila bola percubaannya dalam kotak penalti sempat
ditampan keluar oleh barisan pertahanan Chelsea.
Chelsea melebarkan kedudukan pada minit ke-29 dengan
jaringan daripada De Brunye yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak
penalti tetapi gol itu terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila pemain
muda Belgium itu terpaksa dikeluarkan kerana mendapat kecederaan.
Ketika permainan hanya menunggu masa ditamatkan pada
babak pertama, Lukaku memastikan namanya berada dalam senarai penjaring selepas
bijak memanfaatkan hantaran Branislav Ivanocic.
Di babak kedua, Moses menambah pesta jaringan The Blues
pada minit ke-89 selepas Farizal gagal menampan keluar bola rembatan leret di
dalam kotak penalti.
Akhirnya jaringan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh
peminat Malaysia tercapai jua pada masa kecederaan apabila Fadhli memanfaatkan
situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Chelsea dengan tandukan cantik yang
menewaskan penjaga gol nombor satu The Blues, Peter Cech.[1]
No comments:
Post a Comment