Ad

Friday, 11 November 2016

2 peserta karate cipta kejutan, takraw cuma perak


 

ARKIB : 18/12/1998
2 peserta karate cipta kejutan, takraw cuma perak
PESERTA karate negara, C. Muralitharan (kiri) dan R. Muniandy menunjukkan pingat emas yang mereka menang pada Sukan Asia XIII Bangkok, semalam.

MALAYSIA mengatasi pencapaian pingat emas Sukan Asia di Hiroshima, Jepun selepas mengutip dua lagi emas menerusi karate pada Sukan Asia XIII, semalam menjadikan jumlah lima pingat emas setakat ini.

Kejayaan manis itu dilakukan menerusi C. Muralitharan dan R. Muniandy, sekali gus melihat Jalur Gemilang dan Negaraku berkumandang dua kali di Gimnasium Tujuh, Universiti Thammasat, Bangkok.

Muralitharan memperoleh pingat emas acara kumite 55kg menewaskan peserta Kuwait, Bader Alotaibi, 6-1.

Kemenangan C. Muralitharan memberikan semangat kepada Muniandy untuk meraih emas kelima selepas menumpaskan Mehdi Amouzadeh dari Iran dengan catatan 6-1 dalam acara kumite bawah 70kg.

Ketua jurulatih karate negara, T. Ponniah berkata, dia amat memerlukan sokongan penaja dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memastikan kejayaan yang dirintis di Bangkok ini mampu berterusan.

''Sayalah orang paling gembira dengan dua emas dan empat gangsa Sukan Asia ini. Saya bangga kerana ini pencapaian terbaik dalam penyertaan Malaysia sedangkan mulanya cuma mahu mengubah warna pingat sebagai sasaran awal,'' ujarnya.

Sementara itu dalam acara sepaktakraw, Malaysia terpaksa akur dengan kekuatan Thailand apabila tewas pada peralwanan akhir antara regu yang menyaksikan kita mmebawa pulang pingat peak.

Pemain negara, Zabidi Shariff, Suhaimi Yusof, Rommi Suhendra Norsal tewas kepada regu utama Thailand Seubsak Phonseub, Suriyan Paechan, Poonsak Permsub), 15-3, 15-8.

Penolong pengurus pasukan negara, Azman Abdul Rashid memuji persembahan barisan pemainnya yang beraksi, semalam.

''Mereka bermain dengan cemerlang tetapi kita tidak bernasib baik,'' katanya.

Azman berkata, disebalik kekalahan itu beliau yakin pemain muda seperti Rommi mempunyai masa depan yang cerah. ''Kita akur dengan kekalahan ini dan berpuas hati selepas berusaha,'' katanya.

Menurutnya, pemainnya agak gugup pada set pertama terutama dengan permainan cemerlang tekong utama Thailand, Seubsak Phonseub yang banyak menggunakan kebijaksanaannya ketika melakukan servis.

Thailand mencipta 11 ace daripada 15 mata yang diperolehinya pada set pertama.

Pasukan tuan rumah yang mendapat sokongan ribuan penonton yang membanjiri stadium mengambil masa 34 minit untuk menang di set pertama sebelum Malaysia memberikan tentangan pada set kedua.

Pasukan negara yang ketinggalan 3-9 dan 4-10 satu ketika berjaya merapatkan jurang sehingga angka 8-11 dan memaksa tie-break sebelum menang perlawanan ini.

Dalam acara olahraga, wakil tunggal negara pada hari keempat acara olahraga, G. Shanti terus menghidupkan cabaran Malaysia apabila mara ke pusingan akhir 200 meter wanita.

Shanti menduduki tangga kedua dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium Utama, Universiti Thammasat semalam dengan catatan 23.56 saat.

Selain Shanti, atlet negara turut beraksi dalam acara olahraga hari ini termasuk Teoh Boon Lim (50km jalan kaki), Loo Kum Zee (lompat tinggi) dan 4x400 meter (Romzi Bakar, D. Nadarajan, Zaiful Zainal Abidin dan Yazid Parlan).

Dalam acara biliard sembilan bola perseorangan, dua peserta negara tumbang di pusat snuker Kompleks Sukan Muang Thong Thani.

Ooi Fook Yuen menerima knock out pada pusingan kedua daripada peserta Jepun, M. Morishima 7-9 untuk mendapat tempat pada suku akhir.

Sementara, Ng Aun Seng kalah 6-9 kepada peserta Thailand, Rutphae Chatchawan pada pusingan pertama. - Utusan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PgkyVUyZ © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment