Ad

Thursday, 17 November 2016

Bekas pemain kebangsaan gesa skuad Harimau asah taring

Bekas pemain kebangsaan gesa skuad Harimau asah taring
MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY & MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID
16 NOVEMBER 2016


Bekas pemain kebangsaan gesa skuad Harimau asah taring lagi Pertahanan Kedah, Rizal Ghazali antara pemain diuji Kim Swee dalam persahabatan menentang Papua New Guinea, kelmarin.
BEKAS pemain kebangsaan, Asmawi Bakiri menyifatkan perlawanan Harimau Malaysia menentang Papua New Guinea dalam aksi persahabatan kelmarin menunjukkan peningkatan yang baik bagi menghadapi Piala AFF 2016.

Walaupun berpuas hati dengan percaturan pemain dalam perlawanan itu namun bagi Asmawi kesilapan mudah barisan pertahanan sedikit sebanyak menggusarkannya.

"Kemenangan semalam bolehlah dikatakan sebagai suntikan moral sebelum berangkat ke Myanmar nanti. Boleh dikatakan percaturan pemain dalam perlawanan ini baik, terutamanya sewaktu separuh masa pertama.

"Gandingan Hazwan Bakri dan Darren Lok, Irfan Fazail dan Baddrol Bakhtiar sungguh menarik. Taktikal letak Amri Yahyah di sebelah kiri pun menarik. Tapi yang paling menarik ialah Zaquan Adha. Dia seorang pemain yang ketika menyerang dia takkan patah balik. Dia akan terus bergerak ke hadapan. Jadi ini yang paling  ditakuti pihak lawan.

"Bila Datuk Ong (Ong Kim Swee) melakukan pertukaran pemain harus saya akui gerakan kita mulai kendur dan permainan mula menjadi perlahan.

"Tetapi itu tidak merisaukan saya, yang saya risaukan ialah kesilapan mudah barisan pertahan yang menyebabkan kita bolos awal.

"Kalau kita imbas balik perlawanan persahabatan dengan Indonesia dahulu, kesilapan bolos tiga gol adalah disebabkan kesilapan pemain pertahanan. Dan untuk perlawanan kali ini kesilapan yang sama berlaku," katanya.

Kata Asmawi lagi, Kim Swee seharusnya memberikan hukuman atau mengenakan tindakan tegas kepada pemain yang melakukan kesilapan berulang.

Menjelang perlawanan pertama menentang Kemboja, Asmawi menegaskan perlawanan itu harus menjadi misi wajib menang jika mahu melangkah lebih jauh pada kempen AFF kali ini.

"Kalau tengok jadual memang sedikit membantu kita sebab kita akan bermain mengikut ranking. Pertama kita akan lawan Kemboja, kemudian Vietnam dan akhir sekali baru tuan rumah, Myanmar.

"Bagi saya pertemuan dengan Kemboja harus menjadi misi wajib menang kita. Ini kerana, pertemuan seterusnya kita akan menentang dengan pasukan yang lebih kuat. Jadi kita perlu menang dengan Kemboja untuk mendapat suntikan moral menghadapi lawan yang lebih kuat nanti.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh pandang mudah kepada Kemboja. Kalau kita tengok jurulatih baharunya dari Korea dah buat falsafah baharu untuk pasukan itu.

"Apa yang penting, untuk perlawanan ini pihak kejurulatihan harus mengetahui kekuatan dan kelemahan pihak lawan. Kita jangan syok sendiri asyik nak tahu kekuatan dan kelemahan sendiri sahaja. Lebih penting untuk kita ambil tahu corak permainan lawan serta kekuatan dan kelemahan mereka sebelum membuat keputusan siapa yang akan dijadikan kesebelasan utama nanti," jelasnya

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  16 NOVEMBER 2016

No comments:

Post a Comment