ARKIB : 05/04/1999
KUALA LUMPUR 4 April - Parti
Keadilan Nasional (Keadilan), sebuah parti yang didukungi penyokong gerakan
reformasi dilancarkan hari ini dengan diketuai oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah
Wan Ismail, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar, bagaimanapun, tidak
menganggotai parti yang diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 8 Mac lalu
menerusi pindaan nama parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) walaupun
asas perjuangan parti itu untuk membela Anwar yang didakwa telah dizalimi.
Barisan kepimpinan Keadilan
selain Dr. Wan Azizah selaku Presiden ialah Presiden Just World Trust (Just),
Dr. Chandra Muzaffar (Timbalan Presiden), tiga Naib Presiden iaitu bekas Mufti
Pulau Pinang, Datuk Sheikh Azmi Ahmad, bekas Naib Presiden Parti Melayu
Semangat 46 (S46), Marina Yusoff dan Pengerusi Gagasan Demokrasi Rakyat
(Gagasan), Chua Tian Chang (Tian Chua).
Ketua Eksekutif Yayasan Salam,
Mohd. Anuar Tahir dilantik sebagai Setiausaha Agung, Ramli Ibrahim sebagai
Pemangku Bendahari, Ketua Penerangan disandang oleh bekas Exco Pergerakan
Pemuda UMNO, Ruslan Kasim.
Bekas Setiausaha Politik Anwar,
Mohamad Ezam M. Nor dan Nell Onn masing-masing memegang jawatan sebagai Ketua
Pemuda dan Ketua Wanita.
Keadilan turut dibarisi oleh 19
ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), yang antaranya ialah peguam Anwar, Zainur
Zakaria, Pengerusi Tenaganita, Irene Fernandez dan bekas Penolong Setiausaha
Pergerakan Pemuda UMNO, Saifuddin Nasution Ismail yang masih bersembunyi di
luar negara.
Selain itu, MPT dianggotai oleh
Dr. Mohd. Nor Nawawi, Dr. Halili Rahmat, Ng Lum Yong, Goh Keat Peng, Sahri
Bahari, Dr. Ismail Hamid, Johari Abdul, Dr. Mansor Othman, Khalil Shah, Dr.
Ghazali Basri, Mohamad Rafaie Ab. Malek, Omar Jaafar, Kahar Ahmad, Dr. Abdul
Wahid Ahmad Suhaime, Nik Aziz Nik Hassan dan Yusuf Abdul Rahman.
Bercakap kepada pemberita
selepas pelancaran parti itu di sini, Dr. Wan Azizah berkata, Keadilan muncul
sebagai susulan kepada perjuangan menegakkan keadilan melalui pembangkang baru.
''Tiada sebab parti-parti pembangkang
lain melihatnya sebagai ancaman sebaliknya mereka mesti menerima baik Keadilan.
''Kemunculannya akan
memperkuatkan barisan pembangkang dan membawa sejumlah besar masyarakat yang
sebelum ini memihak kepada status quo dan Barisan Nasional (BN),'' katanya.
Keadilan, katanya, yang
menjurus konsep parti multi-etnik akan bekerjasama dengan parti-parti politik
dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang inginkan reformasi dan keadilan serta
menawarkan alternatif kepada rakyat.
Turut hadir pada pelancaran
parti itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang, Presiden Parti Rakyat
Malaysia (PRM), Dr. Syed Hussin Ali serta wakil-wakil dari Pas, Parti Setia
(Sabah) dan beberapa NGO.
Sementara itu dalam perutusan
khas yang dibacakan Mohamad Ezam, Anwar berkata, penubuhan Keadilan adalah
untuk menentang gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme
yang didakwanya berleluasa di negara ini.
Dalam pada itu, Dr. Chandra
berkata, Anwar tidak menganggotai Keadilan supaya beliau dapat menumpukan
perhatian menyatupadukan parti-parti politik dan NGO yang memperjuangkan
reformasi dan keadilan sosial.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_04.htm#ixzz4RS0h6HU9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment