ARKIB : 09/10/1998
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Dr.
Roshidah Ishak, pakar pergigian (periondontologi) dalam Angkatan Tentera
Malaysia (ATM), hari ini mencipta sejarah sebagai pegawai wanita pertama
dinaikkan ke pangkat Kolonel.
Upacara pemakaian pangkat Dr.
Roshidah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Mohd.
Zahidi Zainuddin di Wisma Pertahanan, dekat sini.
Dr. Roshidah sebelum ini
berpangkat Leftenan Kolonel, dan memiliki kelulusan peringkat ijazah kepakaran
lanjutan (pakar gigi dan gusi) yang diperolehi dari United Kingdom pada tahun
1990.
Beliau yang melahirkan perasaan
gembira dan bangga, menganggap kenaikan pangkat ini sebagai penghargaan yang tidak
ternilai dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan ATM.
''Saya bangga dan terharu
dengan penghargaan yang diberi.
''Tetapi saya selalu
mengingatkan diri bahawa dengan kenaikan pangkat ini bermakna tanggungjawab
saya akan lebih berat,'' katanya ketika ditemui selepas upacara pemakaian
pangkat di Wisma Pertahanan hari ini.
Menurut beliau yang telah
berkhidmat dalam ATM selama 17 tahun, suaminya, Leftenan Kolonel (Udara) Ahmad
Zulkifli Mohd. Zain serta lima anaknya, adalah pendorong utama dalam kerjaya
sebagai seorang doktor.
Ditanya mengenai perkembangan
perubatan pergigian dalam ATM beliau menjelaskan, teknologi yang sedia ada
begitu canggih dan mempercepatkan serta memudahkan proses rawatan.
Bagaimanapun katanya, ada
beberapa kes yang begitu sukar dan kronik seperti menanam platinum dalam gusi
memerlukan kos yang tinggi, sehingga RM2,000 untuk menanam sebatang gigi.
Kata Roshidah, rawatan gigi
penting dan jika seseorang itu mengalami sakit gigi mereka tidak dapat
menumpukan perhatian pada kerjanya dan berjumpa doktor gigi adalah jalan
penyelesaian terbaik.
Tambahnya, beliau merawat
anggota tentera dari pangkat biasa sehinggalah pegawai tertinggi dan pernah
memberi rawatan gigi kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
''Saya berbangga dengan kerjaya
saya dan akan berkhidmat dalam ATM selagi diperlukan. Terima kasih kepada
pegawai atasan dan rakan-rakan yang menyokong saya selama ini,'' katanya.
Turut menerima kenaikan pangkat
pada upacara tersebut ialah lima pegawai Tentera Darat iaitu tiga daripadanya
ialah pegawai simpanan sukarela yang dinaikkan ke pangkat Kolonel manakala dua
pegawai tetap sebagai Leftenan Kolonel.
Mereka yang dinaikkan ke
pangkat Kolonel ialah Leftenan Kolonel Profesor Madya Dr. Idris Abdol sebagai
Komander 502 Askar Wataniah (AW), Leftenan Kolonel Jonathan Chan (Komander
Rejimen 515 AW) dan Leftenan Kolonel Ahmad Fuad Haron (Komander Rejimen 513
AW).
Dua lagi yang dinaikkan ke
pangkat Leftenan Kolonel ialah, Mejar Ir. Chapiti Redzuan dan dilantik ke
jawatan Pegawai Staf I, Penyelaras 'B' Jabatan Perumahan dan Pembinaan, dan
Mejar Roslan Abdul Ghani Yahya (Pegawai Memerintah 21 Komando).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4P5eak2xm
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment