ARKIB : 08/03/1999
KHAMIS, 11 Mac, 1999 ini,
Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein berumur 77 tahun jika beliau masih hidup.
Razak, Perdana Menteri Malaysia
kedua kembali ke rahmatullah pada 14 Januari 1976 di London dan disemadikan di
Makam Pahlawan di pekarangan Masjid Negara pada 16 Januari. Razak meninggal
dunia 12 hari sebelum sempat mengumumkan rombakan kabinet yang dramatik dalam
sejarah politik negara, kalau tidak arah sejarah kita akan berlainan.
Razak telah memutuskan bahawa
pengumuman rombakan itu akan dibuat pada 26 Januari selepas persidangan Menteri
Besar dan Ketua Menteri di Pulau Langkawi.
Sebelum Razak berlepas ke
London untuk cuti rehat akhir Disember 1975, dia telah berbincang panjang
dengan penulis di Seri Taman. Dia telah memberitahu yang saya akan dilantik
Menteri Penerangan sekali gus Ketua Penerangan UMNO. Razak sendiri akan
bertugas di ibu pejabat UMNO.
Setiausaha Kerja UMNO, Khalil
Akasah telah menyediakan pejabat baru baginya. Tegas Razak kepada saya: ''Saya
akan jadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri sepenuh masa. Kita akan hadapi mereka
habis-habisan Dollah."
Mereka maksudnya ialah
"nyamuk dalam UMNO dan Barisan Nasional" yang menggigitnya dan
dasarnya.
Razak juga telah memaklumkan
saya, tiga menteri akan digugur (dua akan ditawar jawatan duta, satu ke India,
satu lagi sebuah negara Arab) dan beberapa menteri bertukar kementerian. Saya
akan menulis tentang ini secara terperinci kelak.
Tidak banyak wujud memorial
atau peringatan baginya. Apa pun, sepanjang ingatan saya tiada sebuah pun
masjid telah dinamakan sebagai mengenang jasa bakti Razak, orang yang paling
berjasa mendirikan ratusan masjid dan madrasah di luar bandar seluruh negara.
Seharusnya sebuah masjid
negeri, minimanya sebuah masjid jajahan, wajar diberi penghormatan memakai
namanya. Razak telah membenarkan saya meluluskan permintaan-permintaan
mendirikan masjid di Kelantan.
Masih segar dalam ingatan saya,
antaranya dua buah kampung kubu Pas, iaitu Kampung Kutan, Pasir Mas dan Atas
Paloh, Tanah Merah. Saya juga memujuk Razak membantu pembesaran Masjid
Muhammadi, Kota Bharu, Masjid Ibrahimi, Pasir Puteh membangun semula Masjid
Kampung Laut dan mendirikan Masjid Telipot dan masjid baru di Ketereh.
Selepas zaman konfrontasi
Indonesia Kerajaan Pas Kelantan di bawah Datuk Mohamad Asri Muda mulai berjinak
dengan Kerajaan Pusat melalui Razak.
Talian (kata orang Kelantan
kabel) antara Asri dan Razak walaupun UMNO dan Pas sengit berperang senantiasa
wujud melalui saya, sama ada dengan Asri, Abu Bakar Hamzah, Ustaz Khaidir
(Setiausaha Politik Asri), Amaluddin Darus dan "orang tengah" lain.
Perhubungan lebih rapat berlaku selepas kejadian berdarah 13 Mei 1969 yang
akhirnya pada awal 70-an tertubuh kerajaan campuran antara Pas-UMNO di
Kelantan.
Pas menganggotai Barisan
Nasional tahun 1974 dan Asri menjadi Menteri Kemajuan Tanah, Hassan Adli, Abu
Bakar Omar dan Yusof Rawa, timbalan menteri, Abu Bakar Hamzah dan Zahari Awang
setiausaha parlimen.
Razak amat sukakan Kelantan
kerana "orang Kelantan seperti orang Cina - rajin dan tekun menghadapi
pekerjaan, perusahaan dan pelajaran. Berseronok pun beria-ria" tegasnya.
Almarhum Sultan Yahya Petra
amat rapat dengan Razak. Apabila Sultan Yahya kurang ghairah mahu jadi Yang
di-Pertuan Agong (sebab kesihatan) saya telah dihantar mengadap.
Saya telah menyembah: "Tun
Razak memohon Tuanku berkenan sahaja. Yang lain serah kepadanya."
Sultan Yahya dipilih menjadi
Yang di-Pertuan Agong menggantikan Sultan Kedah. Takdirnya usia Sultan Yahya
dan Razak dilanjutkan oleh Allah s.w.t. hubungan Kelantan dengan Pusat pasti
terus rapat dan mesra. Saya penuh yakin Pas pun masih berada dalam BN lagi
kerana Razak senantiasa melaksanakan politik pragmatik dan suka bertolak ansur
bagi mengekalkan perpaduan Melayu.
Sungguhpun, jasa dan bakti
Razak lebat, namanya makin pudar dari ingatan bangsanya. Tunku Abdul Rahman
Putra telah memulakan bahagian agama di Jabatan Perdana Menteri, diperbesar dan
diaktifkan oleh Razak meliputi banyak bidang dan diperhebatkan lagi dengan
matlamat baru oleh Datuk Seri Dr. Mahathir. Islam dan politik tidak boleh
dipisahkan hanya pelaksanaan sahaja berbeza. Inilah pendekatan UMNO sepanjang
zaman.
Nama putera dan pahlawan bangsa
teragung ini harum, tiada ada "masalah imej" harus lebih tersinar dan
tersibar luas.
Razak telah banyak membakar
semangat bangsa dan banyak teladan boleh didapati dari riwayat hidup dan
perjuangannya bagi generasi akan datang, terutama mereka dari desa.
Benar Razak seorang bangsawan
tetapi dia dibesarkan di tengah kemiskinan di kampungnya, Kampung Jambu Langgar
Pekan, Pahang. Apa yang dilihat yang menghiris hatinya tatkala kecil
mendorongnya melancarkan pembangunan luar bandar, menubuhkan Felda dan program
pembangunan wilayah yang kini telah menukar landskap perkampungan, wajah negara
dan sifat bangsa. Al-Fatihah.
* Datuk Abdullah Ahmad ialah
wakil khas Malaysia ke pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu..
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4Q5Spob1l
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment