ARKIB : 27/03/1999
TERSERGAM indah sebahagian
daripada kompleks bangunan kampus UIAM di Jalan Gombak, Kuala Lumpur.
CADANGAN untuk menubuhkan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lahir daripada idea Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 12 Januari 1982. Namun, idea
untuk menubuhkan universiti itu telah pun dikemukakan oleh beliau pada Konvensyen
Pendidikan Muslim Sedunia Pertama di Mekah pada tahun 1977.
Sehubungan itu, pada 12
Februari 1982, satu kertas kerja mengenai penubuhan universiti itu disediakan
dan dipersetujui oleh Perdana Menteri. Perkara itu kemudian dibawa ke mesyuarat
kabinet dan turut mendapat restu kabinet.
Selepas itu, sebuah pasukan
petugas dibentuk untuk menyelaraskan penubuhan UIAM.
Pengarah Pejabat Perhubungan
Awam UIAM, Mohd. Razif Mamat berkata, cadangan itu juga mendapat perhatian
negara lain dan beberapa negara dari pertubuhan Islam bersetuju menaja bersama
universiti itu.
Menurutnya, usaha ke arah
menjadikan penubuhan UIAM satu realiti dilakukan sepanjang tahun 1983. Beliau
berkata UIAM ditubuhkan secara rasmi pada 10 Mei 1983 manakala pada 27 Mei
1983, mesyuarat pertama Lembaga UIAM diadakan.
''Sejarah penubuhan UIAM terus
dicatat apabila pada 1 Julai 1983, Sultan Pahang dilantik sebagai Ketua
Perlembagaan UIAM pertama. Pengambilan pelajar pertama UIAM pula diadakan pada
15 Julai 1983 melibatkan 153 pelajar dan empat tahun kemudian, mereka menjadi
kumpulan pertama menamatkan pengajian di UIAM,'' katanya kepada Utusan.
Perkembangan menarik sepanjang
penubuhan universiti itu terus berlaku apabila pada 3 September 1983, Tun
Hussien Onn dilantik sebagai Presiden UIAM dan senat universiti ditubuhkan tiga
belas hari kemudian.
Menurutnya, penaja bersama
penubuhan UIAM ialah kerajaan Malaysia, Maldives, Bangladesh, Libya, Pakistan,
Turki, Mesir, Arab Saudi dan Pertubuhan Persidangan Islam. Mengenai objektif
penubuhan UIAM, Mohd. Razif berkata, universiti itu ditubuhkan untuk
menghidupkan kembali konsep pembelajaran secara Islam.
''Konsep itu menghendaki
pelajar menganggap menuntut ilmu pengetahuan sebagai ibadah sebagaimana yang
dianjurkan oleh kitab suci al-Quran,'' katanya.
Beliau menjelaskan, universiti
itu juga ditubuhkan untuk memperkukuhkan kembali keunggulan Islam dalam segenap
bidang ilmu sejajar tradisi Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh ulama dan
ahli fikir Islam.
Selain itu, kewujudan UIAM di
Malaysia bertujuan mengembalikan kesedaran tradisi pengajian Islam secara
klasik iaitu ilmu pengetahuan disebar dan dituntut dengan semangat mentauhidkan
diri kepada Allah s.w.t.
Menurutnya, objektif lain ialah
meluaskan bidang pilihan kepada umat Islam dalam pengajian tinggi.
''Untuk mencapai objektif itu,
UIAM menawarkan kursus pengajian peringkat ijazah sarjana muda dan ijazah
tinggi yang diiktiraf dalam pelbagai bidang pengajian. Sebab itulah, bidang
pengajian yang ditawarkan tidak terhad kepada kursus-kursus Islam dan teologi
Islam sahaja,'' katanya.
Selain itu, konsep pembelajaran
dan pengajaran akademik, penyelidikan dan program perkembangan pelajar juga
berprinsipkan Islam. Ciri-ciri Islam dapat dilihat pada pelaksanaan prinsip
pendidikan Islam secara keseluruhan di universiti itu.
Katanya, adalah perlu bagi
pelajar dan kakitangan UIAM mematuhi cara hidup Islam ketika menjadi warga
kampus. Malah pelajar dan kakitangan bukan Islam juga perlu menghormati
peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam ketika berada di kampus.
Selepas kira-kira 16 tahun UIAM
ditubuhkan, universiti itu kini semakin berkembang sejajar perubahan masa.
''Jumlah pelajar pada hari ini
ialah 13,162 orang termasuk 1,623 pelajar asing dari 94 buah negara. UIAM kini
mengeluarkan 3,000 graduan setahun dan kebanyakan mereka tidak menghadapi
masalah untuk mendapatkan pekerjaan,'' ujarnya.
Pelajar itu kini ditempatkan di
kampus UIAM di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu,
Kuliyyah Perubatan UIAM, Kuantan, Pusat Matrikulasi UIAM di Lembah Pantai,
Petaling Jaya dan kampus induk di Gombak.
Beliau berkata, selepas 10
tahun ditubuhkan, UIAM kemudian mengorak langkah baru dengan memulakan episod
pembangunan universiti.
''Pada tahun 1993, satu projek
besar melibatkan pembangunan kampus induk di Gombak bermula dan pembangunan
fasa pertama siap pada akhir Jun 1997,'' katanya. Pembangunan fasa kedua
bermula pada tahun 1996 dan fasa seterusnya akan dilakukan secara berperingkat
sehingga tahun 2005.
''Pembangunan kampus Gombak
menelan belanja kira-kira RM1.2 bilion manakala Kuliyyah Perubatan UIAM Kuantan
pula bernilai RM208.597 juta. Sebuah Kampus Pendidikan UIAM juga akan
dibangunkan di Gombak dan pembangunan kampus itu memakan belanja RM15.034
juta,'' katanya.
Mengulas lanjut mengenai
perkembangan kampus Gombak, Mohd. Razif menjelaskan kampus seluas 287.3 hektar
itu direka bentuk bagi menampung 15,000 pelajar.
Reka bentuk bangunan bercirikan
Islam di kampus Gombak sesuai dengan objektif penubuhan unversiti itu. Seperti
universiti lain, UIAM juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti antaranya,
perpustakaan, masjid, Kompleks Pusat Pentadbiran Utama, Pusat Penyelidikan,
kompleks sukan, perumahan untuk pelajar bujang dan kelamin, perumahan
kakitangan, Rumah Tetamu, Rumah Kelab, Pusat Pendidikan Lanjutan, Pusat
Kebudayaan dan Aktiviti, Pusat Perkhidmatan Perubatan, Pusat Komersial
mengandungi kemudahan perkhidmatan bank, kedai dan lain-lain, kafeteria dan
Pusat Penjagaan Kanak-Kanak untuk anak-anak kakitangan.
Mohd. Razif berkata, sebanyak
490 unit pangsapuri didirikan untuk perumahan kelamin.
''Pangsapuri itu boleh
memuatkan 1,000 pelajar yang sudah berkahwin manakala 110 unit pangsapuri juga
didirikan untuk kakitangan UIAM,'' katanya.
Selain itu, beberapa jenis
rumah juga disediakan untuk 400 kakitangan akademik dari luar negara yang
berkhidmat di UIAM. Kampus Gombak kini menempatkan pelajar Kuliyyah
Kejuruteraan, Ekonomi dan Pengurusan, Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu &
Sains Kemanusiaan, Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar.
''Apabila siap sepenuhnya,
kampus UIAM Gombak akan menempatkan semua kuliyyah kecuali matrikulasi yang
kekal di kampus UIAM di Lembah Pantai dan Petaling Jaya manakala perubatan di
Kuantan,'' katanya.
Sejarah ringkas penubuhan UIAM
12 Januari 1982 - Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan UIAM ditubuhkan.
12 Februari 1982 - Kertas-kerja
mengenai penubuhan UIAM dipersetujui oleh Perdana Menteri dan direstui oleh
kabinet.
10 Mei 1983 - UIAM ditubuhkan
dengan rasmi.
20 Mei 1983 - UIAM menerima
perintah penubuhan daripada Yang Di-Pertuan Agong
27 Mei 1983 - Mesyuarat Pertama
Lembaga UIAM diadakan.
1 Julai 1983 - Sultan Pahang
dilantik sebagai Ketua Perlembagaan UIAM pertama.
15 Julai 1983 - Pengambilan
pertama pelajar UIAM melibatkan 153 orang.
3 September 1983 - Tun Hussein
Onn dilantik sebagai Presiden UIAM pertama.
16 September 1983 - Senat
universiti ditubuhkan.
Oleh: ROHANA MAN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0327&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz4ROeIYPuJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment