04 November 2016 12:14 AM
Mohd. Rizal Ghazali (depan) bakal meninggalkan Kedah musim depan.
TELOK KEMANG 3 Nov. – Kedah dijangka kehilangan bintang final Piala Malaysia, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali yang dikatakan bakal meninggalkan skuad Lang Merah bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Pemain itu menimbulkan tanda-tanya apabila memuat naik status yang menggambarkan dia bakal beraksi bersama pasukan lain menerusi laman Instagram baru-baru ini.
Bek kanan itu juga mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan selepas beraksi selama tiga tahun.
Malah, pemain berusia 24 tahun itu juga mengucapkan terima kasih terhadap pengalaman yang diraih sepanjang beraksi dengan gergasi bola sepak utara tanah air itu dalam status Instagram tersebut.
Rizal mengakui, dia ada menerima tawaran menyarung jersi sebuah pasukan lain untuk kempen musim depan.
Bagaimanapun, pemain itu menjelaskan dia hanya akan membuat keputusan selepas kejohanan Piala AFF yang bermula 20 November ini.
“Pada masa ini Kedah adalah majikan saya. Saya masih ada kontrak sehingga bulan ini.
“Bagaimanapun saya tidak mahu komen lanjut kerana mahu fokus kepada persiapan skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF.
“Saya akan buat keputusan selepas kejohanan itu,” katanya ketika ditemui semasa Kem Bina Semangat skuad kebangsaan bagi Piala AFF di Port Dickson di sini hari ini.
Ditanya mengenai komennya dalam Instagram, dia mengakuinya namun enggan mengulas lanjut.
Dia mengakui kontraknya dengan Kedah bakal berakhir bulan depan sekali gus bebas untuk membuat keputusan mengenai masa depannya.
Nama pemain itu melonjak selepas menjaringkan gol pertama dan penalti semasa Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan penalti 6-5 dalam final di Stadium Shah Alam, Ahad lalu.
Berikutan persembahan cemerlang itu, dia dikatakan mula menjadi buruan beberapa pasukan dalam Liga M.
Sementara itu, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar ketika mengakui, beberapa pemain skuad itu bakal meninggalkan pasukan berkenaan.
Katanya, itu adalah perkara biasa namun yakin Kedah mampu mengekalkan prestasi terbaik pada musim depan.
SUMBER- UTUSAN ONLINE 04 November 2016
No comments:
Post a Comment