Ad

Sunday, 6 November 2016

Gandingan Safee, Mat Yo kembali beraksi


 

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
MAT YO

NAMA Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha pernah menjadi igauan pasukan lawan apabila gandingan dua penyerang berbisa Malaysia itu menjadi kombinasi mantap ketika pasukan negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010.

Safee muncul sebagai pemenang kasut emas apabila meledak lima gol sepanjang tujuh perlawanan Piala AFF Suzuki 2010, manakala Norshahrul yang mesra disapa ‘Mat Yo’, menjadi watak penting dalam setiap gol yang dijaringkan oleh Safee.

Namun, kedua-dua pemain itu kemudian ‘terpisah’ apabila Safee masih bergelut untuk diserapkan ke dalam skuad utama Johor Darul Takzim (Johor DT), manakala Mat Yo sebelum ini ditimpa kecederaan ketika mewakili Terengganu pada musim ini.

Bagaimanapun, Datuk Ong Kim Swee tetap percaya pe­ngalaman kedua-dua pemain senior itu mampu memberikan sentuhan positif kepada skuad negara yang bakal mengharungi kempen Piala AFF Suzuki 2016 nanti.

Sebagai rekod, Harimau Malaysia bakal membuka tirai kejohanan dengan bertemu Kemboja di Yangon, Myanmar pada 20 November depan.

“Kita ketahui yang bukan sahaja Norshahrul (Mat Yo) atau pun Safee dipanggil semula tetapi ada lagi pemain-pemain yang beraksi (Piala AFF Suzuki) 2010 dan mereka ini bagi saya memiliki pengalaman cukup luas.

“Pada masa sama, saya juga masih mempunyai (dua pe­nyerang) Darren Lok dan Ahmad Hazwan (Bakri) yang boleh beraksi pada bila-bila masa.

“Jadi, ini terpulang kepada latihan kita dan juga pada perlawanan persahabatan akan datang (bertemu Papua New Guinea pada 4 November) untuk saya memikirkan senarai 23 pemain (ke Piala AFF Suzuki 2016).

“Prestasi para pemain bertambah baik sejak mula berlatih awal minggu lepas. Mereka mampu beraksi pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1106&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4PDmhi5za Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment