Ad

Friday, 11 November 2016

Nicol kekal juara wanita Asia

ARKIB : 25/12/1998
BANGKIT daripada kegagalan pada Sukan Komanwel XVI, skuad skuasy negara pulang bergaya daripada Sukan Asia XIII di Bangkok dua minggu lalu dengan satu emas dan satu gangsa untuk menutup tirai cabaran 1998 penuh bermakna.

Dimartabatkan sebagai juara wanita Asia 1998, Nicol David sekali lagi mengulangi kejayaan itu untuk mengetepikan hasrat pemain Hong Kong, Rabecca Chiu pada perlawanan akhir dan sekali gus merampas pingat emas yang ketiga buat negara.

Sebaliknya bagi Kenneth Low, pemain perseorangan utama negara, halangan pemain Pakistan Zaraq Jahan Khan terus terpahat sekian lama walaupun pernah mencuri satu mata dalam acara berpasukan pada Kejohanan Asia 1998.

Di Bangkok, Zaraq melangkah ke perlawanan akhir apabila sekali lagi menewaskan Kenneth untuk memastikan rekod 5-1 ke atas pemain negara itu yang terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Usaha dua lagi pemain negara, Ong Beng Hee dan Kuan Choy Lin gagal membuahkan hasil pada kedua-dua kejohanan tersebut.

Begitupun, Beng Hee telah membuktikan keupayaannya dengan mengharumkan nama negara selepas muncul juara remaja dunia 1998, satu pencapain terbaik pernah dikecap atlet negara ini.

Bagi Choy Lin pula banyak lagi yang perlu dipelajari selepas kecundang di Bangkok. Kecederaan membelenggu yang memaksanya bercuti kira-kira 15 bulan mendatangkan kesan mendalam terhadap karier masa depan pemain ini.

Dia mendapat laluan ke Bangkok selepas meraih ke menangan ke atas pencabar terdekat, Sandra Wu dan Sharon Wee dalam ujian pemilihan dan kecergasan.

Namun cabaran di ibu negara jiran itu sukar ditandinginya dan terpaksa akur kepada kehebatan lawan.

Apapun yang diperkatakan, skuasy negara tanpa diperkecilkan sudah menguasai Asia, dengan skuad lelaki berdepan pencabar terdekat Pakistan manakala skuad wanita nyata belum mampu ditandingi negara lain rantau ini.

Skuasy juga telah menyelamatkan Malaysia daripada menanggung aib selepas skuad yang diharap membawa pulang kilauan emas seperti boling, terkulai di Bangkok.

Halangan Pakistan bagi acara skuasy lelaki dijangka berterusan ke tahun 1999 dengan kehadiran beberapa lagi muka baru, sementara Malaysia terpaksa memperkukuhkan penguasaan acara wanita sambil emngetangahkan bakat baru.

Tahun 1999 juga dijangka mematangkan lagi Nicol untuk melangkah lebih jauh ke arena skuasy dunia. Dia pernah disifatkan pemain nombor enam dunia dari England, Linda Charman sebagai pemain yang bakal menggegar dunia skuasy dunia.

''Dia mempunyai corak permainan profesional tersendiri dengan pukulan pantas lagi mengelirukan. Saya boleh katanya dia (Nicol) sebagai pencabar di masa akan datang.

''Dia juga bijak mengatur strategi permainan, cuma beri dia lebih pendedahan di peringkat antarabangsa. Negara anda ( Malaysia) tidak akan rugi apa-apa,'' ujar pemain profesional itu.

Oleh: SAADON JAAFAR
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PgzlFYjT

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment