Amri, Safee ke Selangor?
ROZAIDI ZULKIFLI | 09 November 2016 12:08 AM
KUALA LUMPUR 8 Nov. - Kehangatan urusan mencari pemain untuk memperkuatkan pasukan masing-masing bagi menghadapi Liga Malaysia (Liga M) 2017 semakin hangat ketika ini dengan Selangor terus menjadi lubuk utama Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapatkan pemain berkualiti.
Tidak kira pasukan dalam saingan bola sepak Liga Super dan Perdana mahupun Piala FAM, setiap pasukan dikatakan telah menyediakan bajet untuk mendapatkan pemain terbaik bagi memburu kejuaraan musim depan.
Sementara itu, desas-desus kedengaran bahawa Mohd. Amri Yahyah dan Mohd. Safee Mohd. Sali mahu meninggalkan JDT dan kembali menyarung jersi Selangor yang suatu ketika dahulu menaikkan nama mereka sehingga berjaya menggapai kejayaan dimiliki sekarang.
Bagaimanapun, Harimau Selatan yang kali ini menumpukan fokus mereka kepada pemain muda dengan dua pemain Selangor iaitu Ahmad Hazwan Bakri dan Nazmi Faiz Mansor pula akan berhijrah ke kelab juara Liga Super tiga kali berturut-turut itu.
Pahang contohnya dikhabarkan bakal berwajah baharu apabila lima pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan bakal menyertai skuad Tok Gajah.
Mereka yang dikaitkan dengan pasukan yang pernah digelar Real Madrid Malaysia itu adalah Ashari Samsudin, Joseph Kalang Tie, Zubir Mohd. Azmi, Muslim Ahmad dan Ahmad Syamim Yahya. Bekas pemain Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Ali Ashfaq dari Maldives juga bakal menguatkan skuad Tok Gajah musim depan.
Dalam pada itu, Melaka United yang pertama kali akan bersaing dalam liga elit negara itu turut mendapatkan beberapa pemain berpengalaman untuk memberi persaingan sengit.
Membantu Kedah menjulang Piala Malaysia dan menabur bakti selama dua musim bersama pasukan Lang Merah, difahamkan Liridon Krasniqi bakal berubah angin dengan menyertai Felda United yang diperkuatkan lagi dengan Mohd. Fakrul Aiman Sidid dan Norshahrul Idlan Talaha.
-SUMBER See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-safee-kembali-ke-selangor-1.405234#sthash.mBUkdohE.dpuf
No comments:
Post a Comment