Ad

Friday 4 November 2016

A'Famosa Water World tawarkan kegembiraan sekeluarga


 

ARKIB : 18/10/1998
KOLAM permainan mini selamat untuk si kecil.

A'Famosa Water World sebenarnya terletak di Alor Gajah, Melaka. Tetapi pandangan yang menarik sudah kelihatan jika anda melalui lebuh raya tersebut dan seakan-akan menggamit anda untuk melihat apakah yang istimewa ada di dalamnya.

Namun apa yang lebih menarik tentang taman tema tersebut ialah kegembiraan yang ditawarkan setelah anda menjejakkan kaki di kawasan itu.

Taman tema yang dimiliki oleh A' Famosa Group itu merupakan tempat riadah yang paling baik untuk mereka yang ingin mencari keseronokan.

Setiap permainan air dan kemudahan yang disediakan dalam A'Famosa Water World adalah setaraf dengan taman tema berair pada peringkat antarabangsa.

Antaranya termasuklah kolam berombak, sungai lesu, perkampungan Aladdin, pelbagai jenis gelongsor air dan kolam aktiviti kanak-kanak.

Kolam berombak menjadi tempat yang paling menyeronokkan untuk anda sekeluarga.

Anda tidak perlu lagi ke tepi pantai untuk berjemur di bawah sinaran matahari.

Alunan ombak besar di kolam tersebut sudah cukup memberikan keseronokan yang diharapkan.

Jika anda berhasrat untuk berehat, anda boleh menyewa pelampung dan mengembara di sungai lesu yang paling panjang di dunia.

Sambil berenang-renang di sepanjang sungai tersebut anda juga berpeluang untuk melihat kawasan sekitar.

Kepada mereka yang gemarkan cabaran boleh mencuba pelbagai jenis gelongsor air yang disediakan di taman tersebut.

Papan gelongsor laju dan tinggi paling mengagumkan dan mencabar. Sekali menggelongsor jantung pasti berdegup kuat tanpa berhenti tetapi anda pasti mahu mencubanya lagi.

Gelongsor air liar pula mempunyai dua gelongsor tertutup dan terbuka yang bersimpang-siur.

Kepada kanak-kanak pula, ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kolam aktiviti kanak-kanak menyediakan pelbagai permainan mini yang selamat untuk mereka.

Permainan lain yang turut disediakan dan menjadi tarikan ialah jet ski, tempat memanah dan menunggang kereta kuda.

Selain itu pelbagai kemudahan lain terdapat di taman tersebut seperti pelampung untuk disewa dengan kadar yang berpatutan, surau, gerai makan dan kedai cenderahati.

Taman tema itu beroperasi setiap hari kecuali hari Rabu dan Khamis. A' Famosa Water World dibuka mulai jam 11 pagi hingga 7 malam pada hari Isnin dan Selasa serta mulai jam 9 pagi hingga 7 malam pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti am.

Bayaran yang dikenakan untuk pengunjung ialah RM18 bagi dewasa, RM13 bagi kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun.

Oleh: JAMLIAH ABDULLAH

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1018&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_01.htm#ixzz4P6thTM7x © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment