23 November 2016 12:13 AM
MOHD. FAIZ SUBRI berpeluang berkongsi pentas bersama pemain terbaik dunia jika jaringannya memenangi anugerah Puskas FIFA 2016.
YANGON 22 Nov. – Persatuan Bola Sepak Malayia (FAM) hari ini melancarkan kempen menggalakkan peminat tempatan memberi sokongan kepada Mohd. Faiz Subri selepas jaringan cantiknya tersenarai dalam 10 calon akhir anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Pencalonan gol Faiz yang diumumkan FIFA semalam sudahpun menempa sejarah bola sepak tanahair, namun FAM berharap sejarah itu akan menjadi lebih gemilang dengan menyeru rakyat mengundi gol pemain tengah Pulau Pinang itu.
“Saya beritahu Faiz yang kami akan melancarkan kempen untuk mengundi dia bagi anugerah Puskas di laman sosial.
“Kami melancarkan kempen dalam Twitter, Facebook dan laman web FAM, harap peminat bola sepak negara sahut kempen ini dengan mengundinya,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Kata Hamidin lagi, FAM juga akan memberi penghargaan khas kepada Faiz jika jaringannya memenangi anugerah Puskas, yang bakal disampaikan dalam majlis Ballon d’Or di London pada 9 Januari, 2017.
Pada 16 Februari lalu, Faiz, meledak gol yang memukau menerusi sepakan bebas selepas tendangannya dari jarak 30 meter melambung, melencong sebelum menerjah gawang.
Sementara itu Faiz, 28, berkata, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk memenangi anugerah, sebaliknya menganggap kejayaan menempatkan diri dalam 10 calon akhir satu pencapaian.
“Gol itu meletakkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa dan saya amat bangga,” katanya.
sumber- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/ayuh-undi-faiz-subri-1.410921#sthash.ntgDbFpY.dpuf
No comments:
Post a Comment