Ad

Saturday, 26 November 2016

Detik penentuan

 
 KIM SWEE (dua dari kanan) bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Myanmar, Gerd Zeise selepas sidang akhbar di Yangon semalam yang turut dihadiri penolong kapten pasukan Harimau Malaysia, Baddrol Bakhtiar (kanan) dan Kapten Myanmar, Yan Aung Kyaw (kiri).

YANGON, Myanmar – Bukan satu lagi perkara rahsia apabila skuad Harimau Malaysia dan Myanmar masing-masing memburu kemenangan dalam misi layak ke pentas separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016 apabila kedua-dua pasukan itu turun membuat perhitungan dalam aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Thuwunna hari ini.

Atas kertas, kelebihan dilihat memihak kepada Myanmar berdasarkan perbezaan jaringan selain menduduki tangga kedua kumpulan meskipun berkongsi tiga mata de­ngan skuad Harimau Malaysia.

Satu mata sudah cukup untuk mengesahkan skuad kendalian Gerd Zeise itu mengiringi pendahulu Kumpulan B, Vietnam layak ke separuh akhir tetapi skuad kebangsaan telah melaungkan amaran bahawa mereka telah bersedia untuk membuat kejutan ke atas pasukan tuan rumah, Myanmar,

Namun, skuad negara juga memiliki kelebihan berdasarkan rekod pertemuan sepanjang tujuh perlawanan dan kali terakhir Harimau Malaysia tewas kepada Myan­mar apabila kalah 1-2 dalam aksi kelayakan Sukan Asia 2004 lalu.

Apa yang pasti, magis jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee ditagih peminat-peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan skuad negara meneruskan kemaraan pada kempen Piala AFF Suzuki 2016.

“Bukan lagi menjadi satu rahsia apabila Malaysia dan Myanmar masing-masing mahu layak ke pusingan seterusnya (separuh akhir Piala AFF Suzuki 2016). Bagi kami, itu sudah menjadi keutamaan.

“Kami kini berkongsi ‘misi’ yang sama yang mana Malaysia memerlukan kemenangan untuk layak dan Myan­mar pula akan mempertaruhkan kelebihan mereka (beraksi di laman sendiri) dan saya percaya pertemuan esok (hari ini) pasti sengit.

“Mereka telah banyak berubah jika dibandingkan dengan aksi persahabatan (seri tanpa jaringan) pada (28) Mei lalu tetapi saya yakin kami optimis untuk melakukan sesuatu dalam misi wajib menang ke atas Myanmar,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di Hotel Novotel Max Yangon semalam.

Tambah pengendali kelahiran Melaka berusia 45 tahun itu, beliau juga berharap beraksi pada pukul 6 petang (7.30 petang waktu Malaysia) sedikit sebanyak memberikan ke­lebihan kepada anak-anak buahnya.

Jelasnya, dua perlawanan yang berlangsung pada pukul 3 petang (4.30 petang waktu Malaysia) ketika menewaskan Kemboja 3-2 dan tewas tipis 0-1 kepada Vietnam membantutkan sedikit proses pemulihan barisan pemainnya.

“Sebelum ini kami bermain dua perlawanan pada pukul 3 petang (4.30 petang waktu Malaysia) dan saya lihat pemain-pemain saya tidak sempat pulih sepenuhnya.

“Mungkin kali ini (perlawanan menentang Myanmar) sedikit berbeza dan saya yakin pemain-pemain saya sudah biasa beraksi di depan penyokong-penyokong (lawan). Mereka mampu menangani tekanan itu de­ngan baik,” katanya.

SUBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1126&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4R6u2Yj3V Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment