ARKIB : 27/10/1998
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Tokoh
yang memainkan peranan utama dalam kejayaan pembentukan persekutuan Malaysia,
Allahyarham Tun Mohammed Fuad Stephens, hari ini dianugerahkan Tokoh Wartawan
Negara oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM).
Perdana Menteri Datuk Seri Dr.
Mahathir Mohamad menyampaikan anugerah terulung kewartawanan Malaysia itu
kepada balu Allahyarham, Toh Puan Rahimah Stephens, pada perasmian Persidangan
Kesatuan Akhbar Komanwel, di sini.
Ini adalah kali keempat sejak
10 tahun lepas, anugerah terulung kewartawanan Malaysia diberikan. Penerima
sebelum ini ialah tokoh wartawan veteran Tan Sri A.Samad Ismail (1988), Tan Sri
Lee Siew Yee (1991) dan Allahyarham Datuk Ishak Haji Mohammad (1995).
Allahyarham Mohammed Fuad, yang
dilahirkan pada 14 September 1920, pernah menjadi Ketua Menteri Sabah.
Penglibatannya dalam dunia
kewartawanan bermula apabila beliau menyumbang penulisan kepada satu-satunya
akhbar di negeri kelahirannya - North Borneo News - dengan menggunakan nama
pena Vox Populi.
Selepas sepucuk surat yang
dikenali sebagai Blood is Thicker than Water, (Darah Lebih Pekat Daripada Air),
yang mana beliau mengkritik penjajah kerana diskriminasi terhadap kakitangan
awam tempatan, Allahyarham dipelawa menulis artikel untuk akhbar itu.
Setelah meraih banyak
pengalaman semasa bersama North Borneo News, Allahyarham Mohammed Fuad kemudian
membuka syarikat akhbarnya sendiri, Sabah Times, dengan modal awal hanya sebanyak
RM1,000.
Edisi pertama akhbar harian itu
di Borneo Utara dipasarkan pada Mac 1952 dengan beliau berperanan sebagai
editor, wartawan, jurutaip, penyusun huruf dan penghantar akhbar.
Dua tahun kemudian, beliau
membeli North Borneo News dan menggabungkannya dengan Sabah Times. - Bernama.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4P8DoCvmy
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment