Ad

Wednesday, 4 March 2020

Azraai harap Safawi fokus

MyMetroArena
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 “Safawi Rasid adalah aset negara bukan mudah kita nak jumpa pemain seperti dia lagi. Saya harap dia jangan layu sebelum berkembang.”

Itu harapan besar jurulatih berpengalaman negara, Azraai Khor Abdullah yang berharap Safawi dapat bangkit dan segera memperbaiki prestasinya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Azraai antara individu yang terawal mengesan bakat Safawi ketika membimbing pasukan T-Team pada 2014 berkata, sebagai pemain bola sepak yang berbakat dan popular, sudah tentu ramai wanita cantik akan cuba mendekatinya namun Safawi perlu bijak menangani perkara ini.

“Dulu masa saya kendalikan T-Team, Safawi masih dalam skuad Piala Presiden T-Team dan masa itu saya percaya dia bakal ‘meletup’ dan menjadi pemain glamor.

“Bakat macam dia bukan selalu datang mungkin kena tunggu beberapa tahun baru ada balik. Jadi kalau dia tak boleh kawal tekanan terutama wanita dia akan hilang dari radar.

“Soal hati dan perasaan ini kita tak boleh nak tolak sebab itu fitrah sebagai manusia biasa, cuma dalam waktu sekarang Safawi kena pandai kawal.

“Bukan saya nak kata dia tak boleh ada kekasih atau tak boleh berkahwin, tapi dia masih muda dan perjalanan jauh lagi.

“Kalau ada jodoh jangan risau takkan kemana kekasihnya itu. Kalau boleh fokus dahulu dengan pasukan dan permainannya, InsyaAllah lebih banyak rezeki akan datang selepas itu,” kata bekas pengendali Kedah itu.

Terdahulu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hilang sabar dengan Safawi yang dikatakan sedang hangat bercinta dengan pelakon, Syifa Melvin hingga mengganggu prestasinya di atas padang.

Menurut Tunku Ismail, kemerosotan mendadak pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim lalu itu disebabkan oleh tekanan daripada kekasihnya itu yang mendesak untuk berkahwin dengannya.

Malah, Tunku Ismail turut mendedahkan pelakon berkenaan hanya mahu menumpang dia atas kekayaan dan populariti Safawi sebagai pemain bola sepak.

“Bagi saya ketika ini Safawi perlukan bimbingan daripada kelab dan keluarga. Jangan terus menekan Safawi kerana saya bimbang ia akan memberi kemudaratan kepadanya.

“Apa yang mustahak, pengurusan kelab dan keluarga beri nasihat dan panduan berguna kepada serta cuba cari jalan terbaik untuk mengatasi kemerosotan prestasi Safawi,” kata Azraai.

sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 2:28 PM

No comments:

Post a Comment