MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II)
gagal melakar kemenangan ketika beraksi buat pertama kali di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos, Larkin selepas sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur pada
pertembungan Liga Perdana, hari ini.
Skuad Merah Biru mengundang cemas
di gawang gol Kuala Lumpur seawal minit keempat selepas Arif Aiman Mohd Hanapi
bertindak berani apabila melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti namun
hanya sipi di penjuru kanan gol ketika penjaga gol, Zamir Selamat sudah
tertewas.
Sepanjang 20 minit babak pertama,
penguasaan milik anak didik Rafae Gil Sanchez yang mengasak ke kubu skuad Warga
Kota yang tampak kerap bermain dengan corak bertahan dan hanya sekali sekala
melakukan percubaan berbahaya.
Kelibat Indra Putra Mahayuddin
masih berbisa tatkala hampir membuka tirai jaringan buat Kuala Lumpur pada
minit ke-24 apabila bola rembatan deras di luar kotak penalti sempat ditepis
penjaga gol, Muhammad Haziq Nadzli.
Penantian tuan rumah mencipta
jaringan hadir pada minit ke-33 selepas Fernando Rodriguez yang bijak menyusup
masuk ke dalam kotak penalti sebelum mengumpan bola ke belakang dan Ramadan
Saifullah Ishak yang tidak dikawal merembat bola leret menewaskan Zamir.
Keberanian Gil Sanchez
mempertaruhkan dua pemain muda, Firdaus Ramli dan Feroz Baharuddin mengemudi
bek tengah nyata tidak mengecewakan selepas kedua-dua pemain membentuk
kombinasi mantap memastikan gawang skuad Merah Biru tidak dibolosi sehingga
berakhir babak pertama.
Bersambung babak kedua, tuan
rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-55 selepas Arif Aiman memberanikan
diri dengan merembat bola tepat ke penjuru kanan gawang namun Zamir sempat
menepis bola keluar.
Namun kedudukan 1-0 yang cuba
dipertahankan tuan rumah terlerai pada minit ke-76 selepas Fakrul Aiman Aidid
menanduk bola kemas berpunca daripada sepakan sudut kapten Paulo Dos Reis untuk
mengikat kedudukan 1-1 dan keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.[1]
No comments:
Post a Comment