MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
PENGENDALI Johor Darul Ta'zim
(JDT), Benjamin Mora teruja dengan kemenangan pasukan itu yang mampu
menjinakkan kelab dari Korea, Suwon Bluewings 2-1 pada aksi Kumpulan G, Liga
Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, semalam.
Kemenangan itu menyaksikan skuad
Harimau Selatan melonjak ke tangga kedua selepas mengumpul tiga mata pertama
sekali gus bangkit daripada tewas 1-5 kepada kelab dari Jepun, Vissel Kobe pada
aksi pertama.
Mora menegaskan kerjasama
berpasukan yang dibentuk barisan pemain begitu ampuh apabila saling membantu
antara satu sama lain dan mengekang asakan kelab dari Korea itu yang begitu
rakus mengasak benteng skuad Harimau Selatan.
“Kita tahu Suwon adalah pasukan
yang hebat, jadi pemain tidak kerap memberi asakan sebaliknya menyusun gerakan
di kawasan tengah dan apabila ada peluang barulah melancarkan serangan pantas
yang memerangkap pasukan lawan.
“JDT tidak dibarisi pemain
berstatus bintang dan pemain tahu tanggungjawab yang mereka harus lakukan dalam
permainan apabila beraksi secara bertahan dan bertindak untuk menyerang apabila
ada peluang.
“Ada dua atau tiga peluang yang
boleh kita terjemahkan dengan jaringan tapi kurang berkesan. Namun pemain terus
bekerja keras dan hasilnya gol menerusi sepakan penalti dan gerak susun menarik
yang menghasilkan gol kemenangan,” katanya
Mengenai kegagalan Safawi Rasid
yang kurang menonjol, Mora pantas menepis tanggapan itu sebaliknya beliau
berpuas hati dengan pemain itu apabila memainkan peranan untuk pastikan JDT
mencipta kemenangan.
Beliau berkata, Safawi kerap
memberi tekanan terhadap benteng lawan dengan larian pantas di posisi sayap
kanan tetapi hanya nasib tidak menyebelahi pemain itu selepas gagal melakukan
penyudah tepat.
“Saya percaya Safawi akan bangkit
menjaringkan gol jika dia kerap memiliki peluang ketika aksi menentang kelab
dari Korea itu. Dia sudah beri yang terbaik malah dia juga merupakan pemain
tempatan yang berkualiti,” kata Mora.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 4 Mac 2020 @ 6:57 PM.[1]
No comments:
Post a Comment