Ad

Thursday, 12 March 2020

Sentuhan Carlos terus ditagih Tok Gajah


MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

BIARPUN prestasi Ivan Carlos tidak menentu, pengendali Pahang, Dollah Salleh tetap bangga dengan pencapaian penyerang import itu.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, tiga gol, masing-masing satu dalam setiap perlawanan membuktikan bahawa sentuhan berbisa pemain dari Brazil itu.

“Saya tak boleh cakap apa mengenai Carlos kerana prestasinya tidak konsisten kerana pada satu ketika dia dapat bermain dengan baik atau sebaliknya.

“Tapi, tiga gol yang dijaringkan setakat ini iaitu satu gol pada setiap perlawanan sudah cukup membantu dan pencapaian terbaik. Prestasi Carlos masih turun naik dan ada ketikanya seperti hilang punca.

“Tapi saya tidak nafikan sumbangannya amat besar buat pasukan seperti yang dipersembahkan ketika menewaskan Sabah 2-0, kelmarin,” katanya.

Mengulas kecederaan yang dialami kapten pasukan, Dickson Nwakaeme yang tidak diturunkan ketika Tok Gajah menewaskan Sabah, Dollah berkata, penyerang Nigeria itu pada awalnya disenaraikan dalam kesebelasan utama Namun, katanya, pada sesi pemanas badan, Nwakaeme mengalami sedikit kecederaan dan diletakkan selaku pemain simpanan.

“Disebabkan Pahang sudah mendahului Sabah 2-0, saya membuat keputusan untuk tidak menurunkan dia sebagai pemain gantian bagi mengelak kecederaan lebih serius.

“Khidmat Nwakaeme diperlukan pada perlawanan berdepan Melaka United Sabtu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 7:01 PM.[1]


[1] https://www.hmetro.com.my/arena/2020/03/553901/sentuhan-carlos-terus-ditagih-tok-gajah

No comments:

Post a Comment