MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
BENARKAH bintang bola sepak
negara dan Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid bergelut dengan masalah
kecederaan atau dia disisihkan ekoran isu kontroversi bersama kekasihnya yang
juga pelakon, Syifa Melvin baru-baru ini?
Itu persoalan yang timbul dalam kalangan
peminat bola sepak tanah air selepas kelibat Safawi langsung tidak kelihatan
dalam dua aksi terakhir Liga Super termasuk di bangku simpanan JDT.
Ketiadaan pemain sayap itu jelas
menjejaskan permainan skuad Harimau Selatan yang dilihat gagal meraih
kemenangan selesa ke atas dua pasukan bertaraf ‘semi pro’ iaitu UiTM FC 2-1 dan
PDRM FC 1-0 yang majoritinya dibarisi pelajar dan anggota polis.
Kehilangan pemain Harimau Malaya
itu nyata menimbulkan tanda tanya sedangkan dia beraksi baik ketika bertemu Suwon
Bluewings dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 3 Mac lalu.
Malah, dalam aksi di Stadium
Sultan Ibrahim itu, JDT membenam wakil Korea Selatan itu dengan 2-1 untuk
menghadiahkan tiga mata pertama kepada tuan rumah.
Bagaimanapun, sehari selepas
kemenangan itu, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengkritik Safawi yang
dikatakan mengalami kemerosotan prestasi ekoran tekanan daripada buah hatinya
yang mendesak untuk berkahwin dengan pemain itu.
Adakah ia kebetulan atau sekadar
alasan, Safawi didakwa mengalami kecederaan seperti mana yang ditegaskan
pengendali JDT, Benjamin Mora hingga memaksa beliau mengenepikan kelibat
pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bolasepak
Kebangsaan (ABK) musim lalu itu.
“Safawi tak tahu lagi keadaannya,
mungkin lagi dua minggu atau seminggu lebih lagi dan kita memantau tahap
kecederaannya.
“Tapi dia adalah pemain yang
sangat dahagakan kejayaan dan mahu segera kembali membantu pasukan. Dia perlu
mendapatkan rawatan dengan baik dan apabila dia kembali, kita mahu dia fokus
untuk pasukan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi JDT menentang PDRM di
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam kelmarin.
Mengulas mengenai persembahan
pasukannya, beliau akui JDT perlu meningkatkan prestasi menjelang aksi
berikutnya.
“Banyak situasi yang dihadapi
JDT. Salah satunya ialah pihak lawan cuba mengkaji cara permainan pemain JDT.
Mereka sentiasa mencuba untuk memberikan sesuatu yang lebih baik berbanding
kebiasaan.
“Ia perkara normal kerana JDT
pasukan juara dan mahu ditewaskan,” katanya yang menyaksikan skuad kendaliannya
terpaksa menunggu hingga minit ke-84 untuk meraih gol kemenangan hasil ledakan
Diogo.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Khamis, 12 Mac 2020 @ 6:01 AM
No comments:
Post a Comment