Ad

Monday 9 March 2020

Empat jaringan Da Sylva benam Kedah

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR | | 7 Mac 2020
 
Ifwat Akmal gagal menyelamatkan salah satu jaringan yang dilakukan oleh Da Sylva di Stadium Darul Aman malam ini. -Foto AHMAD ZAKI OSMAN
PENYERANG Terengganu, Dominique Da Sylva membuktikan dirinya sebagai penggempur berkualiti apabila meledakkan empat gol membantu pasukannya menewaskan Kedah 4-3 bagi aksi kedua Liga Super 2020 di Stadium Darul Aman malam ini.


Terdahulu, Kedah dikejutkan oleh jaringan awal pasukan pelawat seawal minit ke-2 hasil tandukan Da Sylva yang menerima hantaran sepakan sudut dari ketua pasukan Terengganu, Lee Andrew Tuck menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Terkejut dengan jaringan tersebut, anak buah Aidil Sharin Sahak kembali mengatur corak permainan mereka dan Renan Alves menyelamatkan keadaan apabila menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-19.

Peluang itu hadir apabila penjaga gol Terengganu, Muhammad Rahadiazli Rahalim gagal mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya hasil sepakan percuma yang dilakukan oleh Hadin Azman.

Namun kedudukan semasa berubah pada minit ke-21 apabila Kedah berada di hadapan dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Kpah Sherman yang menerima hantaran cantik Rizal Ghazali menerusi satu serangan pantas.

Penyerang Kedah, Tcheche Kipre meletakkan pasukannya semakin selesa di hadapan 3-1 apabila menewaskan Muhammad Rahadiazli pada minit ke-61 dengan memanfaatkan hantaran pantas yang dilakukan oleh Hadin.

Namun Terengganu berjaya merapatkan kedudukan 3-2 selepas dua minit kemudian menerusi Da Sylva selepas dia tidak dikawal oleh pemain tuan rumah hasil sepakan percuma yang dilakukan oleh Lee Tuck.

Da Sylva terus mempamerkan ketajamannya apabila menjaringkan hatrik pertamanya mengikat pasukan lawan 3-3 pada minit ke-81 selepas bijak mengelirukan Ifwat Akmal.

Pemain itu terus menjadi duri dalam daging kepada Kedah apabila menjaringkan gol keempatnya untuk membantu Terengganu kembali mengatasi tuan rumah 4-3 pada minit ke-84 dan keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.[1]



[1] https://www.sinarharian.com.my/article/72916/BERITA/Sukan/Empat-jaringan-Da-Sylva-benam-Kedah

No comments:

Post a Comment