Mahu kekal rekod tanpa bolos
MyMetroArena
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.myPENJAGA gol Terengganu FC (TFC), Mohd Shamirza Yusoff tekad untuk mempertahankan kubunya daripada dibolosi lawan apabila pasukannya bakal membuat perhitungan dengan Melaka pada aksi keenam Liga Super di Stadium Hang Jebat, Jumaat ini.
Pemain berpengalaman kelahiran Rusila, Marang itu bagaimanapun akui tugas berat bakal menantinya kerana sudah pasti penyerang lawan yang diketuai Uche Agba dan Sonye Norde selain tonggak berpengalaman yang juga pakar sepakan percuma, Safiq Rahim mampu merobek pintu gol pasukannya.
"Apa yang perlu saya lakukan adalah fokus lebih 100 peratus berdepan dengan ancaman pemain lawan bagi mengelak pintu gol daripada dibolosi kerana impian kami juga mahu meneruskan rentak kemenangan ketiga berturut-turut.
"Selain itu jika sekali lagi saya disenaraikan dalam kesebelasan utama, harapan agar mampu untuk mengekalkan rentak permainan yang konsisten sebagaimana ketika bertemu Petaling Jaya (PJ City) dan Sabah, Sabtu lalu, begitu juga kepada rakan sepasukan.
"Tapi apa yang lebih penting adalah untuk bantu pasukan melakar kemenangan bagi mengukuhkan lagi kedudukan dalam saingan liga, jika tidak bolos itu adalah bonus buat saya dan pasukan," kata pemain yang mula menyarung jersi Terengganu pada 2011.
Pada pertemuan dengan PJ City dan Sabah, penjaga gol yang baharu dua kali beraksi dalam saingan Liga Super musim ini membalas kepercayaan jurulatih apabila beraksi cemerlang menghalang pintu golnya daripada dibolosi lawan selepas pasukannya mencatat kemenangan 2-0 menundukkan skuad The Phoenix dan 4-0 menewaskan skuad Tambadau.
Sebelum ini penjaga gol berusia 31 tahun itu lebih banyak memanaskan bangku simpanan pasukannya selepas dibayangi dua penjaga gol muda meningkat naik iaitu Muhammad Rahadiazli Rahalim dan Muhammad Ilham Amirullah Razali.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 8:58 PM
No comments:
Post a Comment