Ad

Tuesday 29 September 2020

Pemain Piala Belia, Presiden Kelantan boleh tersenyum

September 29, 2020 @ 7:58pm



Pemain Piala Belia Kelantan akhirnya dapat tunggakan gaji.

KOTA BHARU: Syarikat Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd sudah menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai skuad Piala Belia dan Presiden Kelantan bagi musim 2019 dan tahun ini, hari ini.

Syarikat itu dalam satu kenyataan memaklumkan tunggakan berjumlah RM195,476.89 dibayar kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melalui peguam, Tetuan Alawi Associates.

"Wang itu adalah pendahuluan daripada RM3.8 juta yang dipinjam daripada pemilik pasukan baharu Kelantan FC, Norizam Tukiman.

"Seramai 124 individu terdiri daripada pemain, barisan jurulatih dan pegawai skuad Piala Belia dan Piala Presiden 2019 dan 2020 yang sudah menandatangani borang akan menerima bayaran tunggakan gaji daripada pihak peguam KAFA," menurut kenyataan itu semalam.

Sebelum ini, media melaporkan pertandingan Piala Belia dan Piala Presiden di bawah kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi musim ini dibatalkan berkuat kuasa 1 Jun 2020 susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

"Mana-mana individu yang tidak disenarai daripada skuad Piala Belia dan Piala Presiden itu atau tuntutan mereka di luar skop tahun 2019 dan musim ini dikehendaki membuat tuntutan kepada KAFA atau peguam persatuan itu," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu isu tunggakan gaji yang melanda Kelantan sejak beberapa tahun lalu tidak berkesudahan apabila bukan sahaja melanda skuad utama bahkan berjangkit pula kepada pasukan pelapis peringkat umur itu.

"Malah, ia tetap gagal diselesaikan meskipun pucuk pimpinan badan induk bola sepak Kelantan itu bertukar tangan daripada zaman pentadbiran Bibi Ramjani Ilias Khan ke era Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Julai tahun lalu," menurut kenyataan itu. - BERNAMA.sumber-BH ONLINE

No comments:

Post a Comment