MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
MARAN: Misi FELDA United FC untuk mengutip tiga mata tidak menjadi kenyataan selepas berkongsi satu mata dengan Pahang apabila seri 2-2 di Stadium Tun Abdul Razak, sebentar tadi.
Tuan rumah lebih bernasib baik kerana walaupun beraksi dengan 10 pemain pada perlawanan berbaki lapan minit itu, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil berjaya menyekat lawan daripada menambah jaringan.
Namun, pada perlawanan itu, skuad Tok Gajah terlebih dahulu menjaringkan gol pendahuluan menerusi pemain pertahanan, Muslim Ahmad yang menewaskan penjaga gol 'The Fighters', Zarif Irfan Hashimuddin minit ke-14.
Tiga minit kemudian, pemain tengah Tok Gajah, Nor Azam Azih hampir menjaringkan gol kedua tetapi bola rembatan terkena tiang gol di sebelah kanan tuan rumah.
'The Fighters' yang ketinggalan 0-1 berjaya menjaringkan gol penyamaan 1-1 hasil jaringan Nikola Raspopovic yang menewaskan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-37.Sebelum berakhir separuh masa pertama, Akhmar Haiqal Azhar mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan FELDA United mendahului 2-1 selepas bola terkena tangan Nor Azam.
Bersambung babak kedua, tuan rumah lebih banyak menguji kubu lawan dalam usaha menambah jaringan tetapi berjaya disekat pertahanan lawan.
Pada minit ke-78, penyerang import Pahang, Ivan Carlos menyamakan kedudukan 2-2 hasil sepakan penalti selepas bola terkena tangan Faiz Mazlan.
Empat minit kemudian, 'The Fighters' beraksi 10 pemain selepas pemain tengah, Jasazrin Jamaluddin dilayangkan kad merah akibat mengutip dua kad kuning oleh pengadil, Hamdan Awang.
Namun, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati apabila berkongsi satu mata sebaik berakhir perlawanan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 11:30 PM
No comments:
Post a Comment