Oleh Asrol Awang - September 22, 2020 @ 10:30pm
sukanteam@nstp.com.my
Dollah Salleh (tengah) bersama pemain Pahang. - Foto NSTP/ Owee Ah Chun
KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh tekad memastikan pasukan bimbingannya layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia, susulan skuad Tok Gajah hanya mampu berada di tangga ketujuh saingan Liga Super ketika ini.
Dengan saingan liga yang berbaki tiga perlawanan, bekas pemain kebangsaan itu mengharapkan skuad kendaliannya itu mampu beraksi lebih baik dan sekali gus mengutip mata maksimum.
"Fokus utama kami berdepan baki tiga perlawanan adalah untuk memastikan skuad Tok Gajah beraksi pada saingan Piala Malaysia. Berada di kedudukan ketujuh liga memang belum selamat kerana perbezaan mata yang tidak jauh dengan pasukan lain ketika ini.
"Oleh itu, pemain perlu lebih bersedia dan bermain dengan komitmen tinggi untuk memastikan pasukan berada di kedudukan lebih baik," katanya.
Selepas lapan perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan ketujuh liga dengan mengutip 10 mata dan berkongsi jumlah mata sama dengan Terengganu FC dan Selangor.
Namun, FELDA United FC dan PJ City FC yang mengutip tujuh mata mampu memberi tekanan dengan baki tiga perlawanan itu jika Pahang gagal mencatat keputusan positif. Pahang bakal berdepan Kedah pada Sabtu ini, diikuti Perak (3 Oktober) dan Terengganu (10 Oktober).SUMBER-SUKAN BH ONLINE
No comments:
Post a Comment