MyMetroArena
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
BEKAS jurulatih skuad Piala Presiden Kelantan, Hashim Mustapha menasihati penjaga gol muda, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed agar mengawal sikap ‘bengkeng’ jika mahu lebih cemerlang dalam kariernya.
Hashim berkata, dengan ketinggian 1.84 meter serta bakat dimiliki, bekas anak didiknya itu mempunyai pakej lengkap untuk tampil sebagai calon penjaga gol skuad kebangsaan kelak dengan syarat dia perlu bersikap lebih tenang ketika di padang.
“Perjalanan kariernya meningkat daripada setahun ke setahun, bermula di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), kemudian Harimau Muda C, disusuli pasukan Piala Presiden hingga tersenarai sebagai penjaga gol simpanan skuad Liga Super Kelantan pada musim ini.
“Namun, sepanjang mendidiknya ketika bersama skuad Piala Presiden Kelantan, saya dapati satu-satunya kelemahan Syihan adalah dia seorang yang ‘bengkeng’ serta mudah naik angin apabila menerima provokasi pihak lawan.
“Dia pernah dibuang padang semasa perlawanan menentang pasukan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) pada musim 2016 kerana bertindak balas ke atas lawan sehingga mencetuskan pergaduhan.
“Saya lihat sikap kepala angin itu masih ada dalam dirinya, mungkin kerana usianya yang muda. Nasihat saya, kalau hendak berjaya, kena bijak kawal emosi kerana sudut lain sudah ‘kemas’ (bagus),” dedah Hashim.
Jurulatih itu ternyata gembira apabila Syihan adalah antara penjaga gol yang mendapat kepercayaan Datuk Ong Kim Swee untuk disenaraikan dalam skuad Bawah 23 Tahun negara ke Kejuaraan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), di China, bulan depan.
Syihan, 21, akan bersaing dengan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim dan Haziq Nadzli (Johor Darul Ta’zim) untuk merebut posisi penjaga gol utama skuad B-23 negara yang kini sedang menjalani latihan di Mokpo, Korea Selatan.
“Ia satu lagi peningkatan yang bagus untuk kariernya. Saya yakin, dalam tempoh beberapa tahun akan datang dia sudah bersedia untuk mengawal pintu gol skuad utama negara.
“Malah, langkah Syihan berhijrah ke Negeri Sembilan musim depan juga sesuatu yang positif untuk kariernya kerana peluang untuk berada dalam kesebelasan utama agak terhad jika kekal di Kelantan.“Ini kerana Apek (Khairul Fahmi Che Mat) masih penjaga gol terbaik Kelantan di samping Ramadhan Abdul Hamid juga turut memberi saingan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 1:59 PM
No comments:
Post a Comment