MyMetroNode
Azlan Hafeedz
sukan@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kelantan gagal mengulangi momentum kemenangan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV apabila sekadar seri 0-0 dengan Pahang pada saingan Liga Super malam tadi.
Beberapa peluang keemasan yang diperoleh Kelantan gagal dimanfaatkan sambil penjaga gol Pahang Mohd Helmi Eliza Elias pula menjadi wira pasukannya apabila menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.
Jentera serangan Kelantan yang dibarisi Wanderer Luiz, Blazhe Ilijoski dan Brendan Gan ternyata cukup berbahaya apabila berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Pahang diketuai Saifulnizam Miswan atau Poyeng.
Kelantan nyaris menjaringkan gol pada minit ke-25 dan 26 menerusi percubaan Wan Zack Haikal dan Mohamad Faris Shah namun berjaya diselamatkan Mohd Helmi.
Pahang juga hampir menjaringkan gol pada minit ke-29 menerusi cubaan R Kogileswaran tetapi rembatannya tersasar.
Tuan rumah terus kempunan mencari gol pendahuluan apabila pemain Pahang yang sudah dapat membaca rentak permainan Kelantan berjaya mematahkan beberapa serangan diketuai Luiz dan Ilijoski.
Sebaik babak kedua bermula, rentak permainan mula berubah dengan kemasukan Indra Putra Mahayuddin menggantikan Mohd Badhri Radzi.
Skuad kendalian Razip Ismail itu cuba bangkit sebaik menyedari pemain Kelantan hilang arah apabila kerap melakukan serangan menerusi import mereka, Pablo Vranjican dan Faysal Shayesteh.
Jentera serangan Kelantan terus menggandakan usaha untuk mencari gol namun Mohd Helmi muncul wira dengan menyelamatkan sekurang-kurangnya lima peluang terbaik sepanjang 10 minit terakhir perlawanan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2016 @ 8:34 AM
No comments:
Post a Comment