Ad

Tuesday, 22 September 2020

Perigi ratusan tahun di Kampung Mengabang Kapal?

MyMetroMutakhir



Zatul Iffah Zolkiply

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Sebuah perigi lama yang dipercayai berusia ratusan tahun ditemui di kawasan Kampung Mengabang Kapal, di sini.

Perigi yang ditulis bertarikh 1345 dijumpai penduduk kampung ketika membersihkan kawasan berkenaan pada Jumaat lalu.

Difahamkan, ada antara penduduk kampung mengetahui kewujudan perigi itu di kawasan berkenaan namun tidak ada yang berani menghampiri kawasan berkenaan yang ketika itu semak samun selain didakwa 'keras'.

Penduduk, Dilah Ambak, 60, berkata, telaga itu dahulu dikatakan sering menjadi tempat persinggahan pedagang yang singgah ke negeri itu.

"Mengikut cerita orang lama, kawasan ini menjadi tempat orang singgah untuk sembahyang dan mandi kerana terdapat surau di kawasan ini.

"Perigi ini sudah lama tetapi kawasan ini dipenuhi semak dan Jumaat lalu kita bergotong-royong dan selepas diteliti, nampak tarikh yang tercatat.

"Saya tak pasti berapa usianya tetapi yang pastinya perigi ini sudah wujud lama," katanya.

Bagi Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim yang juga penduduk kampung sama berkata, perigi lama itu mampu menjadi tarikan terbaharu yang berkunjung ke kampung berkenaan.

Dr Yahaya yang juga Timbalan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara berkata, kajian mendalam perlu dilakukan bagi mengetahui kesahihannya.

"Tarikh yang ada di perigi jadi tanda tanya sama ada masihi atau hijrah, jadi kalau hijrah pun hampir seratus tahun, kalau masihi sudah 600 tahun lebih 675 tahun.

"Ia memang satu penemuan yang luar biasa dalam konteks sejarah dan perlu dipelihara pihak yang bertanggungjawab.

"Kita bersihkan tempat ini sebab merancang untuk menjadikannya kawasan rehat dan tak sangka jumpa perigi ini, jika benar ia adalah tinggalan sejarah, ia perlu dipelihara," katanya yang juga pensyarah kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sementara itu, Ketua Bahagian Sejarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu Azuan Harun berkata, kajian mendalam akan dilakukan bagi memastikan usia sebenar perigi berkenaan.

"Kita tidak boleh buat kesimpulan terlalu cepat dan kajian mendalam perlu dilakukan bukan sahaja membabitkan perigi ini tetapi sejarah kawasan dan penempatan di sini.

"Daripada segi fakta, susah nak jangka usia sebenar perigi ini tetapi daripada segi strukturnya, kemungkinan ada yang ditambah kemudian tetapi binaan asas perigi ini agak unik.

"Jika ditanya bila kita akan tahu usia sebenar perigi ini, ia memerlukan masa yang panjang untuk kita diperhalusi kerana ia membabitkan banyak aspek serta kerjasama pelbagai pihak.

"Sekiranya kajian mendapati usia perigi ini seperti yang didakwa berusia ratusan tahun, kawasan ini akan menjadi salah satu tarikan bagi pelancong," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 2:03 PM

No comments:

Post a Comment