MyMetroArena
Asrol Awang
am@hmetro.com.my
Kuantan: Perasaan teruja tidak dapat disembunyikan pemain tengah Pahang, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim, 23, selepas membantu skuad itu menewaskan Kedah 2-1, kelmarin.
Lebih menggembirakan, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu menjaringkan gol pertama peribadi selepas dua musim bersama skuad Tok Gajah.
"Tak terungkap dengan kata-kata, perasaan gembira dan sedih semuanya ada. Tapi saya bersyukur kerana pada perlawanan ini rezeki akhirnya memihak kepada saya. "Jaringan ini juga berkat doa mak (Raja Sharifah Raja Ali, 52) yang sentiasa mendoakan saya menjaringkan gol. Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya.
"Sebenarnya setiap kali bermain, mak mengharapkan sesuatu dan saya sudah buktikannya.
Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim
"Gol pertama peribadi ini juga meningkatkan motivasi untuk bermain dengan lebih baik pada perlawanan akan datang," katanya.
Pada perlawanan kelmarin, Nik Sharif menjaringkan satu gol ketika membantu Pahang menewaskan Kedah 2-1.
Ia adalah perlawanan ketiga Nik Sharif selaku pemain utama selepas disenaraikan ketika berdepan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United FC.
Sehubungan itu, dia sedia mempamerkan prestasi lebih baik sekiranya terus diberikan kepercayaan oleh jurulatih, Dollah Salleh selaku pemain utama.
Sementara itu, Dollah gembira kerana Nik Sharif semakin menunjukkan kematangan selepas beraksi selaku pemain utama pada tiga perlawanan lalu.
"Dia mempunyai keistimewaan cuma masih muda dan keyakinan belum capai pada tahap yang diinginkan setiap kali beraksi. Tapi dalam latihan, dia selalu menyerlah.
"Bagaimanapun, kejayaan dia menjaringkan gol dan membantu Pahang mencapai kemenangan ke atas Kedah diharap menambah lagi keyakinannya untuk beraksi dengan lebih bagus selepas ini," katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 3:04 PM
No comments:
Post a Comment