MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Kelantan United FC Nazrulerwan Makmor, masih berhajat untuk membawa pasukannya menempah slot ke saingan Piala Malaysia musim ini walaupun berdepan sedikit keresahan dengan kemerosotan prestasi pasukan.
Tambah memeritkan, Kelantan United terpaksa berkunjung ke Stadium Bandaraya pada Jumaat ini berdepan dengan pendahulu Liga Perdana, Pulau Pinang yang masih kebal dengan rekod tanpa kalah.
Namun, Nazrulerwan menegaskan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak dan berharap menjadikan aksi dengan Pulau Pinang sebagai titik kebangkitan Kelantan United yang telah tewas lima kali berturut-turut sejak Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos lalu.
"Kami cuba mencari enam mata maksimum jika mahu mendapatkan slot ke Piala Malaysia kerana berdasarkan kedudukan sekarang, kami ketinggalan satu mata di belakang Negeri Sembilan yang memegang slot terakhir.
"Cuma saya sedar realiti selepas ini iaitu bertemu Pulau Pinang yang fokusnya kini mahu mendapatkan kejuaraan Liga Perdana, pasti akan memberikan banyak kesukaran buat kami jika mengharapkan kemenangan bagi membuka laluan ke Piala Malaysia.
"Saya tetap mahukan pemain untuk cuba sehabis baik dalam baki perlawanan yang ada dan yang paling penting, kurangkan kesilapan-kesilapan kecil yang tidak sepatutnya kerana perkara itu sering kali membunuh peluang kami untuk mendapatkan mata penuh seperti mana kita tewas kepada Sarawak United, " katanya.
Nazrulerwan yang dilantik ketua jurulatih baharu Kelantan United pada 17 September lalu bagi menggantikan Zahasmi Ismail, masih gagal menghadiahkan sebarang mata apabila tewas dua perlawanan sebelum ini iaitu 2-3 kepada Terengganu FC II dan 1-2 di tangan Sarawak United FC.
Selepas aksi berdepan Pulau Pinang, pasukan Kelantan United FC yang kini berada di tangga kesembilan selepas memungut sembilan mata, bakal bertemu Selangor 2 pada perlawanan terakhir Liga Perdana yang dijadualkan 9 Oktober.
Dalam masa sama, Nazrulerwan yang juga bekas ketua jurulatih pasukan Liga M3, KL Rovers mengakui banyak cabaran buat dirinya dalam memperbaiki kelemahan pasukan di pertengahan Liga Perdana.
Justeru, beliau mengambil pendekatan memberikan peluang kepada pemain untuk turun beraksi dalam dua perlawanan lalu dan kini beliau sudah menemui jawapan siapa yang akan berada dalam kesebelasan utama.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 8:36 PM
No comments:
Post a Comment