Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
19 September 2020, 11:21 pm
ISKANDAR PUTERI: Red Giants rebah di Stadium Sultan Ibrahim selepas dibelasah penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) 6-1 dalam aksi Liga Super malam ini.
Selangor bukan sahaja gagal memenuhi misi membawa pulang satu mata, malah tidak memperlihatkan reputasi sebagai antara gergasi bola sepak tempatan apabila mudah diratah Harimau Selatan.
Kemenangan meletakkan JDT semakin hampir menggapai gelaran liga ketujuh berturut-turut selepas mengutip 22 mata menerusi lapan perlawanan, sembilan mata di hadapan pencabar terdekat, Kedah.
Babak pertama perlawanan menyaksikan permainan seimbang oleh kedua-dua pasukan namun tidak ada serangan berbahaya dilancarkan ke arah kubu lawan masing-masing .
Harimau Selatan dilihat berdepan kesukaran untuk menembusi benteng ampuh gandingan kapten, Francis Taylor dan Nicholas Ryan Swirad bagi menguji kecekapan penjaga gawang, Mohd. Farizal Harun.
Gonzalo Cabrera hampir memecah kebuntuan pada minit ke-22 namun sepakan lerek yang dilakukan sedikit tersasar.Gol pembukaan bagi pasukan tuan rumah hadir pada minit akhir babak pertama menerusi sepakan percuma yang diambil Safawi Rasid bagi meletakkan JDT di hadapan.
Sepakan lencong Safawi yang melepasi benteng membuatkan Mohd. Farizal hanya terpaku melihat bola menerjah jaring gawang.
Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti setelah Diogo Luis Santo diterjah oleh Nicholas Ryan dalam kotak penalti.
Safawi tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan menyempurnakan sepakan penalti itu bagi menambah jaringan buat pasukan bimbingan Benjamin Mora pada minit ke-48.
Zulkarnain hampir menghadiahkan penalti kedua buat skuad Harimau Selatan pada minit ke-53 namun menukar keputusannya setelah merujuk kepada penjaga garisan.
JDT sekali lagi menambah jaringan bagi menambah derita buat pasukan B.Sathiananthan, kali ini menerusi tendangan voli dari sudut sukar oleh penyerang sensasi, Diogo pada minit ke-64.
Dua minit berselang, kini giliran Cabrera meletakkan nama dalam senarai penjaring setelah menyudahkan umpanan cantik Diogo bagi melebarkan jaringan.
Penyerang cilik berusia 19 tahun, Muhammad Ramadhan Saifullah yang dibawa masuk menggantikan Cabrera meledak dua gol bagi melengkapkan pesta gol pasukan tuan rumah.
Red Giants memperoleh gol saguhati menerusi jaringan oleh pemain simpanan, Rufino Segovia pada babak akhir perlawanan.SUMBER-SUKAN UM ONLINE
No comments:
Post a Comment