HAZELEN LIANA KAMARUDIN | | 25 September 2020
Pemain pertahanan TRW Kelantan FC, Mohamad Azwan Aripin (kiri) mengawal ketat pemain Sarawak United, Demerson Bruno pada aksi Liga Primier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi. -Foto: Ihsan Hazmin Husin
BARISAN pemain Kelantan mengotakan janji meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Sarawak United 1-0 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu sebentar tadi.
Turun dengan misi memburu kemenangan untuk mencari peluang ke saingan Piala Malaysia, TRW Kelantan FC memperagakan rentak meyakinkan apabila hampir memperoleh jaringan pertama pada minit kelapan, namun Felix Odili gagal menyudahkan peluang tersebut.
Empat minit berselang, giliran Sarawak United menguji gawang gol tuan rumah menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti oleh Milad Zanidpour tetapi tersasar.
Aksi seimbang antara kedua-dua pasukan terus diperagakan menerusi beberapa gerakan menarik, namun ketumpulan penyudah menafikan hasrat masing-masing untuk mendapatkan jaringan.
Memasuki minit ke-35, TRW Kelantan FC terus kempunan untuk mendapatkan jaringan apabila peluang terhidang gagal diterjemahkan barisan serangan tuan rumah.
Penjaga gawang pelawat, Shaiful Wazizi Mohammad menjadi wira apabila berada di kedudukan terbaik untuk menepis rembatan kencang Lazarus Kaimbi dari luar kotak penalti pada minit ke-38.
Tiga minit sebelum babak pertama berakhir, giliran Mohammad Fikri Che Soh pula menjadi wira TRW Kelantan FC apabila menyelamatkan rembatan kencang dari dalam kotak penalti menerusi Patrick Ronaldhinho.
Bersambung babak kedua, tuan rumah sekali lagi terlepas peluang untuk memecah kebuntuan jaringan apabila rembatan Mohamad Amirul Shafik Che Soh tersasar dari pintu gol Sarawak United.
Kelibat Ronaldinho terus menjadi duri dalam daging buat TRW Kelantan FC apabila dia berjaya melepaskan rembatan kencang, mujur Mohammad Fikri lebih tenang untuk menafikan percubaannya itu pada minit ke-53.
TRW Kelantan FC terus kempunan merobek gawang lawan selepas rembatan kencang dari luar kotak oleh Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria sekadar melewati palang pada minit ke-59.
Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, pemain gantian, Mohd Nazrin Nawi muncul wira TRW Kelantan FC apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84.
SUMBER-Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/102653/BERITA/Sukan/Kelantan-kutip-tiga-mata-berharga© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
No comments:
Post a Comment