MyMetroUtama
Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Barisan Nasional (BN) Sabah akan berbincang dengan rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai hala tuju gabungan itu selepas berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, malam ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya juga bersedia membincangkan apa saja masalah dan memastikan kerajaan baharu itu akan terus membela rakyat.
"Setakat 9.23 malam ini saya ingin memaklumkan bahawa GRS telah mendapat majoriti mudah dan boleh membentuk kerajaan.
"Sebagai ketua BN Sabah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Sabah yang ingin berubah daripada jajahan Parti Warisan Sabah (Warisan).
"Insya-Allah GRS akan berbincang untuk menentukan hala tuju dan juga masalah lain dan kita akan memastikan kerajaan baharu ini akan terus membela nasib rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno Sabah, di sini, malam ini.
Yang turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Umno Sabah, berkata beliau cukup yakin dan kerajaan baharu pimpinan GRS dapat dibentuk dengan semangat setiakawan.
"Kita akan membincangkan secara terperinci hala tuju ataupun ke arah mana kerajaan ini memfokus masalah-masalah rakyat di masa akan datang.
"Saya turut berterima kasih kepada jentera Umno dan rakan komponen BN lain yang berkampung di Sabah untuk membantu memenangkan calon BN termasuk Presiden Umno, Naib-Naib Presiden Bossku dan lain-lain," katanya.
Sementara itu, Bung Moktar yang turut memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, berkata soal siapa Ketua Menteri akan dibincangkan bersama rakan GRS dalam masa terdekat.
Keputusan terkini MyUndi • Klik di sini untuk berita lanjut
Lagi berita berkaitan PRN Sabah
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 10:24 PM
No comments:
Post a Comment