Ad

Tuesday 29 September 2020

'Kita kena buat pelan terbaik...'

MyMetroArena



Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ditelan mati emak, diluah mati bapa!

Demikian perumpamaan yang mungkin bakal dihadapi oleh barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF pada April depan berikutan kejohanan serantau itu tidak berada dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Lantas, senario itu pasti menduga pengendali pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe dalam menghimpunkan barisan terbaiknya ketika komitmen pemain bersama pasukan Liga Malaysia (Liga M) turut dituntut oleh majikan masing-masing.

Cheng Hoe yang dihubungi Arena Metro mengakui terpaksa memikirkan dan mencari formula terbaik bagi mengatasi masalah berkenaan yang mungkin memberi kesan kepada kekuatan skuad Harimau Malaya di Piala AFF kelak.

Katanya, satu siri perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan diadakan bagi mencari penyelesaian memuaskan hati semua pihak.

"Semua itu saya belum fikir (persiapan pasukan tahun depan) lagi, kerana kita kena buat pelan terbaik kerana saya pun sentiasa kena hormat jadual pasukan yang bertanding dalam Liga M.

"Kita tahu pengurusan dan jurulatih (peringkat kelab) perlukan pemain utama dalam kesebelasan utama mereka dan itulah sebab saya belum putuskan lagi, dan belum berbincang lagi dengan FAM untuk cari formula terbaik.

"Tetapi pada masa sama juga pasukan kebangsaan perlu bermain (Piala AFF). Kita perlu cari satu alternatif (keputusan) menang-menang, kita tak mahu kelab kehilangan pemain kebangsaan dan kita pula nak pasukan kebangsaan bermain dalam satu tahap terbaik," katanya ketika dihubungi semalam.

Isu keengganan pasukan melepaskan pemain ke kem latihan skuad kebangsaan pernah beberapa kali berlaku terutama apabila membabitkan saingan yang tidak berada dalam kalender Fifa.

Akibatnya, skuad negara terpaksa mengambil risiko dengan membawa 'pemain kumpulan kedua' atau pemain muda untuk menggalas tugas hingga akhirnya membawa kesan negatif kepada persembahan pasukan.

Bagaimanapun, Cheng Hoe tetap tenang dan percaya ada jalan keluar bagi menghadapi Piala AFF, sekali gus memastikan cabaran Malaysia selaku naib juara edisi lalu tetap menyengat.SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:00 AM

No comments:

Post a Comment