SUKAN»Bola
Ahad, 28 Januari 2018 | 12:30pm
PEMAIN Kedah, Akhyar Rashid
(tengah) cuba mengasak penjaga gol UKM FC pada aksi pramusim, semalam. - Foto
Kedah FA
Akhyar mahu rebut tempat
Oleh Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
ALOR SETAR: Selepas beraksi
mantap bersama skuad bawah 23 tahun negara pada Kejohanan AFC B-23 di China dua
minggu lalu, Akhyar Rashid atau digelar 'Neymar Kedah' kini bertekad untuk
tidak mensia-siakan apa sahaja peluang diberikan pengendali Kedah, Ramon
Marcote dalam aksi Liga Malaysia 2018 yang akan bermula minggu hadapan.
Menurut Akhyar, meskipun
menyedari namanya kini meniti di bibir peminat bola sepak, dia tidak mahu terus
leka dibuai pujian. Sebaliknya mahu bekerja keras dan 'merebut' tempat dalam
kesebelasan utama bersama rakan sepasukan yang lebih senior.
"Saya tidak mahu terus leka
dibuai pujian yang boleh melalaikan saya dan untuk berada dalam kesebelasan
utama Kedah bukanlah mudah kerana ramai pemain senior dan berbakat besar yang
perlu saya rujuk seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi, Syazwan Zainon selain
ketua jurulatih, Ramon Marcote.
"Sebagai pemain muda berusia
18 tahun dalam skuad Lang Merah saya perlu melipatgandakan usaha dan bersaing
pada tahap yang terbaik dalam usaha membuktikan saya layak berada dalam
kesebelasan utama pasukan."
Sebelum ini pengendali skuad B-23
negara, Datuk Ong Kim Swee mencabar pemainnya yang beraksi dengan baik di
China, untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing pada
saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
"Kelayakan beraksi dengan
skuad negara sebelum ini bukanlah 'lesen' untuk terpilih bersama pasukan dalam
liga kerana saya terlebih dahulu perlu menambat hati Marcote dengan aksi yang
meyakinkan terlebih dahulu," katanya.
Pada aksi terakhir perlawanan
pramusim skuad Lang Merah pada Selasa lalu, Akhyar memukau penonton dengan
menghasilkan satu gol melalui gerakan solo yang menarik dan membantu pasukannya
menewaskan UKM FC dengan jaringan 2-0.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Ahad,
28 Januari 2018 | 12:30pm
No comments:
Post a Comment