Ad

Saturday 5 May 2018

Apek sah angkat kaki

BharianSukanBola
Oleh Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Demi karier dan masa depannya, Khairul Fahmi Che Mat akhirnya akur terpaksa meninggalkan Kelantan serta mencari pasukan baharu apabila pintu perpindahan kedua dibuka pertengahan bulan depan.

Khairul Fahmi atau Apek berkata, walaupun hatinya terlalu berat untuk berbuat begitu, namun dia tidak mempunyai pilihan apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan khidmatnya tidak diperlukan lagi di bawah jurulatih baharu, Fajer Ebrahim.

"Rabu lalu saya menemui Presiden KAFA (Bibi Ramjani Ilias Khan) dan beliau mengesahkan bahawa saya tidak ada dalam perancangan jurulatih untuk baki musim ini.

"Beliau bercadang melepaskan saya dan memberitahu beberapa pasukan menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat saya.

"Sebagai pemain, saya akur dengan keputusan KAFA. Jika itu yang terbaik untuk saya dan Kelantan, saya terima dengan hati terbuka.

"Tidak guna untuk saya terus kekal bersama pasukan jika mereka sudah tidak memerlukan khidmat saya.

"Walaupun hakikatnya saya terlalu sedih serta berat hati untuk meninggalkan pasukan, namun saya perlu reda bahawa jodoh saya dengan mereka hanya sampai di sini saja," luah Apek.

Setakat ini, menurut Bibi, dua pasukan Liga Super menunjukkan minat terhadap penjaga gol berusia 29 tahun itu dengan Melaka United sudah membuat tawaran rasmi.

Walaupun Bibi tidak menamakan satu lagi pasukan dimaksudkan, namun jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel pernah menyatakan hasratnya mendapatkan khidmat Apek apabila pintu perpindahan kedua dibuka.

Menurut Apek, dia akan menimbang semua tawaran serta berbincang dengan KAFA terlebih dahulu sebelum membuat pilihan muktamad.

"Banyak perkara perlu saya teliti sebelum memilih pasukan yang mahu diwakili. Selain soal gaji dan kebajikan, saya mahu menyertai pasukan yang mempunyai mentaliti juara.

"Saya baru berumur 29 tahun, sebagai penjaga gol, perjalanan karier saya masih panjang dan saya yakin masih mampu memberikan yang terbaik kepada pasukan yang bakal disertai kelak.

"Mungkin ada hikmah daripada apa yang berlaku. Siapa tahu prestasi serta karier saya akan lebih meningkat bersama pasukan baharu itu kelak," kata Apek yang mula mewakili Kelantan sejak 2009.
Sumber-BERITA HARIAN ONLINE Jumaat, 27 April 2018 | 10:36am

No comments:

Post a Comment